Mesti korang terkejut, bukan? Sebuah rumah usang di Kuantan ini sebenarnya menyimpan ribuan koleksi barangan antik yang bernilai tinggi. Terletak di Jalan Galing Besar di tepi Jalan Beserah, Kuantan, lebih tepat rumah ini dikenali sebagai Galeri Rakyat dan Rumah Klasik Kuantan.
Menurut sumber yang Dang Sari baca rumah ini dibangunkan oleh kumpulan peminat barangan antik, yang turut menempatkan pelbagai koleksi barangan yang merakamkan sejarah di Kuantan dan negeri Pahang.
Yang menariknya, ada sebahagian daripada koleksi terkumpul berusia lebih lama iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Kunjungan ke sini bukan sahaja membolehkan anda melihat barangan-barangan lama secara fizikal, namun dalam masa yang sama adalah satu pembelajaran tentang sejarah yang sarat berinformasi.
Selain berfungsi sebagai pusat sehenti dan galeri kepada pencinta barangan antik di Kuantan, Rumah Klasik Kuantan turut menyumbang sebagai pusat informasi kepada sejarah dan budaya negeri Pahang.
Ada benda yang menarik ke?
Sudah tentu koleksi barangan-barangan vintaj! Tapi, apa yang membuatkan Dang Sati lebih tertarik, Rumah Klasik Kuantan cuba mencerminkan semula suasana zaman dulu kala bertemakan konsep kedai jahit, kedai runcit, balai polis, kedai gunting rambut, kedai basikal, bilik tidur, ruang tamu, dapur dan kelas darjah. Memang awesome!
Rumah Klasik Kuantan juga menyimpan bahan bacaan bertulis seperti buku dan surat lama. Ia adalah bentuk pembelajaran yang bernilai tinggi kepada generasi sekarang dan akan datang.
Nah, satu lagi lokasi menarik di Kuantan dan Pahang yang bagus untuk perkembangan minda korang. Oh ya, untuk pengetahuan anda, Galeri Rakyat Rumah Klasik Kuantan ini telah beroperasi sejak tahun 2017 lagi dan ia merupakan satu-satunya tempat di Pahang yang menawarkan konsep sebegini.
Merancang ke Kuantan selepas PKP? Rumah Klasik Kuantan ini adalah destinasi yang kami rasa patut dimasukkan dalam senarai anda! Galeri Rakyat Rumah Klasik Kuantan dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 10.00am hingga 5.00pm.
Harga tiket yang dikenakan adalah RM4.00 untuk dewasa, RM2.00 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala bagi pelajar sekolah beruniform dikenakan tiket masuk dengan kadar hanya RM1.00 sahaja.
Namun, sekiranya anda ingin lawatan pada hari selain Sabtu dan Ahad, anda boleh membuat temujanji bersama Rumah Klasik Kuantan. Boleh hubungi mereka atau whatsapp 019 619 9045. Rumah Klasik Kuantan sentiasa menanti kehadiran anda, mungkin banyak kenangan anda yang tertinggal di sini.
Artikel berkaitan
Pulau Rawa: ‘Hidden Gem’ Malaysia!
Unik! Sebuah Rumah Namun Milik Malaysia & Indonesia