Amazfit Memperkenalkan Balance 3 dan Balance Ultra Dengan Ekosistem Hybrid Training Yang Lebih Pintar

0 Comments

Amazfit secara rasmi melancarkan ekosistem Hybrid Training di Malaysia, sekali gus memperkenalkan pendekatan latihan yang lebih pintar untuk komuniti kecergasan tempatan. Direka khas buat mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan hybrid fitness, ekosistem ini menggabungkan panduan latihan pintar, sokongan rasmi HYROX serta penjejakan prestasi yang lebih menyeluruh. Ia dipacu oleh siri jam tangan pintar baharu Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra, dengan Balance 3 kini boleh didapati di pasaran Malaysia. 

Ekosistem ini mengintegrasikan kecerdasan aplikasi Zepp bersama siri Balance bagi membantu pengguna dalam memahami hubungan antara latihan, pemulihan, tidur, tekanan dan aktiviti harian. Melalui analisis data yang lebih terperinci, pengguna dapat membuat keputusan latihan yang lebih tepat dan mengoptimumkan prestasi serta mencapai kemajuan jangka panjang dengan lebih efektif.


Menjadi tunjang kepada pengalaman ini ialah teknologi HybridCharge Energy Intelligence yang menggabungkan ciri BioCharge, LifeLoad dan Training Load dalam satu paparan komprehensif. Ciri ini membolehkan pengguna menilai tahap tenaga, kesediaan fizikal dan proses pemulihan dengan lebih mudah, sekali gus membantu mengurus intensiti latihan tanpa mengabaikan kesejahteraan keseluruhan.


Dari segi spesifikasi, kedua-dua model hadir dengan paparan AMOLED 1.5 inci yang dilindungi kaca nilam serta tahap kecerahan sehingga 3,000 nits. Ia turut dilengkapi sistem GPS dwi-jalur dengan sokongan enam satelit dan peta luar talian, pengesanan automatik bagi 25 jenis senaman kekuatan, selain pemantauan kesihatan yang merangkumi kadar denyutan jantung, HRV, tidur, tekanan, paras oksigen dalam darah dan kadar pernafasan. Pengguna juga boleh menikmati fungsi panggilan Bluetooth, kawalan suara Zepp Flow, rakaman nota suara serta storan terbina dalam.


Amazfit Balance Ultra pula tampil dengan binaan titanium Gred 5 yang tahan lasak dan elegan, sesuai dipakai ketika bersenam mahupun ke tempat kerja. Sementara itu, Amazfit Balance 3 direka untuk atlet hybrid harian yang memerlukan jam tangan serba boleh bagi aktiviti di gimnasium, larian, pemulihan dan kegunaan harian. Dari segi ketahanan bateri, Balance 3 mampu bertahan sehingga 21 hari, manakala Balance Ultra menawarkan penggunaan sehingga 30 hari dengan sekali cas.



Amazfit Balance 3 Stainless Steel ditawarkan pada harga RM1,599 dengan harga pelancaran RM1,499 dan mula dijual pada Julai 2026. Varian Balance 3 Titanium pula berharga RM1,999 dan akan tiba tidak lama lagi, manakala Amazfit Balance Ultra dijual pada harga RM2,599 dengan harga pelancaran RM2,349 bermula Julai 2026. Kesemua model boleh didapati menerusi Amazfit Malaysia Official Store serta rakan pengedar terpilih di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.