8 Tempat Makanan Terbaik Wajib Anda Serbu di Tangkak

0 Comments

Tangkak merupakan sebuah bandar yang terletak di negeri Johor. Walaupun ianya sebuah bandar kecil, Tangkak cukup terkenal dengan kedai kain yang banyak sekitar sini.

Untuk destinasi pelancongan pula, gunung yang sangat popular di Johor iaitu Gunung Ledang juga terletak beberapa kilometer dari Tangkak. Ianya juga boleh dilihat dari bandar Tangkak sendiri.

Sambil memborong kain di sini, semestinya korang mahu mencari tempat makan yang menarik di Tangkak, bukan? Berikut kami senaraikan 8 tempat makan yang terbaik di sekitar Tangkak.

1.   Nasi Ayam Ali

Sukakan nasi ayam? Ada sebuah restoran di Tangkak yang cukup terkenal dengan menu itu – restoran Nasi Ayam Ali. Buktinya, pada waktu tengah hari restoran ini sentiasa ramai dengan pelanggan.

Ayam yang digunakan untuk nasi ayam merupakan ayam madu yang manis. Sup cendawan dan sambal buatan sendiri yang sedap membuatkan ramai pelanggan terpikat dengan nasi ayam di sini.

Selain ayam madu, ayam black pepper juga turut disajikan di sini. Mahukan hidangan ringan? Pesan sahaja sate di Nasi Ayam Ali. Dihidangkan bersama nasi impit dan timun, memang sedap dicicah dengan kuah kacang.

2.   Warung D’Mampir

Mahu menikmati hidangan tempatan yang bukan sahaja sedap rasanya malah berpatutan harganya? Singgah sahaja di Warung D’Mampir, korang pastinya akan menggemari menu-menu di sini.

Antara menu terlaris di restoran ini ialah nasi lemak. Yang uniknya, nasi lemak di sini disajikan bersama sate sambal sotong. Walaupun ianya lain daripada yang lain, kelazatannya telah bikin ramai ketagih dengannya!

Selain nasi lemak, sate biasa, bihun sup dan mi bandung juga turut disediakan di sini. Kesemua harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan. Yang pasti, tidak lebih RM10 pun!

3.   Ikan Patin Durian Condong

Tak perlu jauh-jauh sampai ke Pahang untuk mencuba ikan patin yang sedap, kerana di Tangkak pun korang boleh menikmatinya. Hanya di restoran Patin Durian Condong!

Ikan patin di restoran ini segar dan ianya diakui sendiri oleh pelanggan-pelanggannya. Ianya juga merupakan ikan patin sungai, jelas membuktikan lagi kesegarannya.

Ada beberapa jenis cara masakan yang boleh anda pilih – digoreng rangup, stim atau pais. Kami sarankan agar anda cuba pais ikan patin. Bukan sahaja sedap, malah aromanya sendiri boleh bikin sesiapa sahaja terliur!

4.   DJKR

Bila berada di Johor, tak sahlah kalau anda tak cuba mi bandungnya. Tambah-tambah pula mi bandung Muar. Namun, jika anda berada di Tangkak pun anda boleh menikmati mi bandung seenak mi bandung Muar tau!

Singgah sahaja di restoran DJKR yang terletak di Taman Ledang ini. Rata-rata pelanggan yang ke sini memang memburu mi bandungnya. Wah, agak-agak apa yang membuatkan mi bandung di sini begitu digemari?

Kuahnya yang pekat dan kaya dengan rasa serta udang yang banyak merupakan antara keistimewaan utama mi bandung di DJKR. Selain mi bandung, korang juga boleh cuba nasi ayam. Menu berbeza, namun sama keenakkannya!

5.   NMR Briyani Gam

Jika korang peminat tegar briyani gam, korang pasti tahu yang di Batu Pahat ada sebuah restoran yang terkenal dengan menu tersebut, bukan? Tetapi di Tangkak, ada ke restoran yang menyediakan briyani gam seenak itu?

Jangan bimbang, kerana anda boleh sahaja singgah di NMR Briyani Gam. Ada beberapa jenis briyani gam yang boleh dicuba, antaranya ialah briyani kambing dan briyani ayam.

Kedua-duanya memang sedap! Lebih menyelerakan jika anda nikmatinya bersama kuah kari dan papadom. Selain briyani gam, menu lain seperti roti Arab juga boleh anda pesan.

6.   Nasi Goreng Udang Selambak

Bila kami sebut nasi goreng, pasti hidangan tersebut kedengaran biasa sahaja buat anda. Bagaimana dengan nasi goreng udang yang bukan sahaja sedap malah banyak udangnya?

Singgah sahaja di Nasi Goreng Udang Selambak untuk menikmati menu tersebut. Nasi goreng yang bersaiz besar ini bukan sahaja mengenyangkan, malah menyelerakan. Rugi tak cuba!

7.   Mee Bandung Muar Sup Tulang Tangkak

Lokasi gerai ini sememangnya sangat strategik. Sebaik sahaja anda turun dari bas atau teksi, anda memang akan jumpa gerai ini – gerai Mee Bandung Muar Sup Tulang Tangkak.

Dari namanya sahaja anda sudah boleh teka menu-menu apa yang terlaris di sini – mee bandung Muar dan sup tulang! Mi bandungnya dipuji sesedap mi bandung di Muar, memang terbaik!

8.   Pirate Corner Tangkak Route 23

Jika anda tanyakan kepada warga Tangkak menu apa yang popular di sini, pasti nasi goreng ayam berlada turut tersenarai. Anda boleh cuba menu tersebut di Pirate Corner Tangkak Route 23.

Ayam berladanya pedas namun masih mampu dinikmati dengan penuh selera. Selain itu, menu lain seperti nasi lemak dan sup tulang juga boleh didapati di restoran ini.

Korang pasti sudah tak sabar-sabar mahu serbu tempat-tempat makan di Tangkak yang kami senaraikan ini, bukan? Jangan berlengah lagi, singgah sahaja jika berpeluang ke sana lepas PKP nanti.

Kami juga ingin nasihatkan agar korang datang pada waktu yang sesuai. Takut nanti ruang parkir dan ruang dalam restoran penuh pula, boleh bikin frust!

Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju

Leave a Reply

Your email address will not be published.