Watak Star Wars kawal covid-19 di Filipina

0 Comments

Penduduk di sekitar Barangay Panghulo, Malabon, Filipina dikejutkan dengan kehadiran bala tentera Darth Vader dan Stormtrooper.

Mereka sebenarnya anggota pasukan keselamatan Barangay yang menggunakan pendekatan kreatif memakai kostum watak dari filem Star Wars bagi mendidik masyarakat mematuhi perintah berkurung.

Memetik portal Philstar, salah seorang anggota pasukan, Muriel Baldago berkata, mereka memilih pendekatan itu bagi menghiburkan masyarakat.

Katanya, dia menghasilkan kostum berkenaan menggunakan bahan kitar semula seperti tikar getah dari kenderaan yang dicantumkan dengan pita dan gam.

Pedang lampu merah Darth Vader pula dibuat menggunakan mop yang sudah lusuh.

“Ini cara kami menyampaikan aura positif dan menghiburkan jadi orang ramai boleh melupakan masalah mereka seketika,” katanya.

Sementara itu, Ketua Barangay, Ian Borja berkata, langkah itu bagi mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penularan Covid-19.

“Ternyata, cara ini berhasil menjadi perhatian dan menceriakan suasana,” katanya.

Semalam, Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyambung tempoh kuarantin di Manila sehingga 15 Mei.

Ia sekaligus menjadikan negara yang melaksanakan langkah paling ketat untuk mengekang Covid-19 apabila tempoh kuarantin di ibu negara itu memasuki 8 minggu.

Setakat ini, Filipina merekodkan kes 8,772 positif Covid-19 dengan 579 kematian.

korang mungkin minat baca:
AS cadang ‘hantar malaikat maut’ halang penduduk keluar rumah
Malaysia pun ada floating market!

Leave a Reply

Your email address will not be published.