Siapa pernah dengar nama Pulau Songsong? Mesti ramai yang tak familiar dengan nama pulau tu, kan?
Songsong sebenarnya merupakan sebuah pulau yang indah dan mempunyai pesisir pantai yang cantik serta jauh dari hiruk-pikuk pembangunan atau manusia.
Ia terletak di Yan, Kedah dan pulau ini sebenarnya memiliki cerita dan warisan sejarahnya yang tersendiri apabila dikatakan pernah menjadi lokasi pahlawan nusantara berkumpul untuk merampas semula Kedah daripada penaklukan Siam.
Tiada seorang pun penduduk yang mendiami Pulau Songsong dan ia juga tidak mempunyai sebarang resort untuk pelancong bercuti ke sana.
Namun bagi peminat pulau dan alam semulajadi, Pulau Songsong dianggap sebagai ‘permata yang tersembunyi’ dan berkunjung ke sana merupakan suatu pengalaman berharga yang menakjubkan.
Jika ingin ke Pulau Songsong, pelancong perlu menaiki bot dari beberapa jeti yang menyediakan perkhidmatan tersebut seperti di Jeti Sungai Yan, Jeti Sungai Udang, Jeti Kuala Dulang dan Jeti Tanjung Dawai.
Perjalanan dari kesemua jeti itu mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja, kecuali Jeti Tanjung Dawai yang agak jauh.
Bagaimanapun, untuk masuk ke Pulau Songsong ini pelancong perlu menempah lebih awal kerana perjalanan ke pulau tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air pasang-surut.
Tarikan utama pelancong ke pulau ini adalah disebabkan khazanah flora dan faunanya, air lautnya yang jernih dan bersih serta pantainya yang ada 2 keistimewaan berbeza iaitu satu berpasir halus dan satu lagi berbatu unik.
Disebabkan tiada pembangunan atau penduduk yang tinggal di situ, kemudahan asas seperti bekalan air bersih, tandas, surau, bekalan elektrik dan sebagainya masih terhad atau tiada langsung di pulau berkenaan.
Jadi bagi pelancong yang berkunjung ke sini, segala keperluan tersebut perlu dibawa sendiri termasuk faktor kebersihan di pulau itu yang menjadi tanggungjawab pelancong.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Songsong tentunya bersantai di tepi pantai, mandi laut berjam-jam, snorkelling dan kalau anda ada lesen menyelam boleh juga maklumkan kepada pemandu bot untuk bawa anda ke lokasi scuba diving yang menarik di sekitar pulau itu.
Kalau bab makan, pelancong juga boleh memancing, memasak, barbeku atau bawa bekal makanan sendiri kerana tiada sebarang aktiviti jual beli di Pulau Songsong.
Memandangkan semakin hari semakin ramai yang mengetahui kewujudan Pulau Songsong ini, ada pihak yang meminta supaya Kerajaan Negeri Kedah menaiktaraf keperluan di pulau itu agar ia dapat dijadikan sebagai salah satu tarikan atau destinasi pelancongan menarik setanding pulau-pulau yang ada di Malaysia.
Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju