Mungkin ramai yang dah tak sabar-sabar untuk merancang percutian pantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Maklumlah dah lama tak dapat ‘Vitamin-Sea’ sejak-sejak bermulanya PKP pada pertengahan Mac lepas.
InsyaAllah lepas PKP nanti, keadaan pulau-pulau dijangka lebih bersih dan baik untuk korang berlibur! Tapi sebelum tu, jom kita usha dulu 10 pantai yang harus dikunjungi di sekitar Asia Tenggara versi The Travel.
1. Pantai Mui Ne, Vietnam
Pantai Mui Ne dahulunya merupakan sebuah desa nelayan tetapi sekarang menjadi kompleks resort pantai dan hotel.
Pantai ini dikategorikan sebagai resort kelas pertengahan dan menjadi destinasi untuk peminat parasailing kerana ia terletak berhampiran dengan sebuah bukit pasir yang membentuk sungai dari aliran air bawah tanah.
2. Pantai Ang Bang, Vietnam
Pantai An Bang kini merupakan satu-satunya pantai terbaik di bandar Hoi An, Vietnam selepas Pantai Cua Dai yang berhampiran telah dilanda oleh hempasan ombak besar hingga menyebabkan hakisan dan kerosakan teruk.
Ia kini ditutup untuk proses pembaikan. Oleh itu, tahun ini kalau nak beriadah di pantai Vietnam, korang boleh nikmati keindahan Pantai Ang Bang yang sangat mempesonakan.
3. Pantai Nusa Penida, Bali
Untuk keseronokan media sosial yang maksimum, korang kena pergi ke Pulau Nusa Penida, Bali. Memang banyak spot-spot cantik untuk korang bergambar sakan.
Dekat pantai ini, korang tidak akan menemui sebarang restoran, butik, kelab malam atau bangunan-bangunan tinggi. Sebaliknya di pantai ini dikelilingi dengan kehijauan hutan tropika yang mendamaikan mata memandang.
4. Pantai Boracay, Filipina
Al-kisahnya dulu Boracay dinobatkan antara pantai terindah di Asia Tenggara kerana memiliki pasir putih dan air laut sejernih kristal hingga menjadi sangat popular dari kalangan pelancong antarabangsa.
Namun, semua itu berubah selepas banyak pencemaran dan kerosakan akibat hakisan, Boracay telah ditutup operasinya.
Bagaimanapun, bermula 26 Oktober lepas Boracay telah dibuka semula secara berperingkat kepada pelancong serta dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Jadi dah bolehlah korang mula merancang kalau nak bercuti ke Boracay lepas ni!
5. Pantai Patong, Thailand
Walaupun Patong selalunya sangat crowded dengan para pelancong dari seluruh dunia dan ia merupakan pantai yang lebih berorientasikan kepada golongan dewasa, namun pulau berkenaan tetap menjadi antara pantai yang paling selamat di Thailand kerana aman dari kekerasan dan bahaya cuaca.
Meskipun penduduk tempatan lebih cenderung mengatakan Patong adalah sangat mahal untuk pelbagai aktiviti pantainya, namun bagi pelancong asing kadar harga di sana adalah berpatutan serta berbaloi dengan keseronokan yang dinikmati mereka.
6. Pantai Cenang, Langkawi, Malaysia
Siapa sangka pantai di negara kita iaitu Pantai Cenang, Langkawi juga tersenarai dalam 10 lokasi pulau dan pantai yang wajib dikunjungi pada tahun 2020 ini.
Jadi pada korang yang belum pernah menjejakkan kaki atau bercuti ke Pantai Cenang silalah berbuat demikian pada tahun ini. Tak jauh pun dari KL. Naik kapal terbang pun cuma 45 minit dah sampai Langkawi.
Cenang memang terkenal di kalangan pelancong antarabangsa untuk melakukan aktiviti pantai seperti menyelam dan berenang serta lepak-lepak di waktu malam sambil menyaksikan pelbagai persembahan menarik.
7. Tanjong Beach, Singapura
Pulau Sentosa adalah resort pulau all-in-one terbaik di Asia Tenggara dan terkenal dengan Universal Studio Resorts World serta beberapa pantai buatan.
Antara pantai tersebut yang paling happening dengan kehidupan malamnya tentulah Tanjong Beach. Jadi kalau korang seorang yang sukakan hiburan atau konsert, pastikan berkunjung ke Tanjong Beach ya!
8. Pantai Cambo, Kemboja
Resort pantai buatan ini berada di ibu kota, Siem Reap. Lengkap dengan kolam air masin yang berkeluasan 30 meter, permainan pantai dan hidangan lazat pastinya akan memenuhi percutian pantai korang.
Jangan lupa untuk berhibur bersama DJ tempatan atau bawa keluarga berlibur pada hujung minggu untuk tawaran harga istimewa.
9. Pantai Chaung Tha, Myanmar
Pantai Chaung Tha menawarkan resort dengan harga yang sangat berbaloi iaitu sekitar US$50 semalam.
Di sini korang akan disajikan dengan hidangan hidupan laut segar dan bersantai di atas pasir putih sambil minum air kelapa bersama yang tersayang.
Chaung Tha adalah tempat yang paling tepat untuk melepaskan tekanan sambil menikmati kehidupan tropika hijau yang sangat menenangkan.
10. Pantai Berakas, Brunei
Pantai Berakas memiliki pemandangan yang sangat indah, bersih dan mesra keluarga. Meskipun kerap terdengar muzik kuat dan lalat pasir, tetapi ia tetap pantai yang tepat untuk korang berpesta BBQ.
Malah TripAdvisor juga memberikan rating 4/5 kepada pantai ini, cuma satu-satunya kekurangan Pantai Berakas adalah ia ditutup seawal pukul 6 petang untuk pengunjung.
Artikel berkaitan:
Rugi Kalau Tak Cuba 9 Tempat Makan Best Di Bentong & Janda Baik
Jom Makan Dalam Bas Sambil Nikmati Pemandangan Gunung Kinabalu