Mereka yang gemar melancong atau mengembara, apakah yang sering dititikberatkan sebelum anda travel? Bagi penulis, beg antara aspek yang penting kerana ia akan bersama dengan kita daripada awal sehingga akhir journey. Segelintir orang mungkin memadai dengan hanya membawa satu beg. Bagaimanapun, ada juga yang suka membawa banyak beg untuk mengisi pelbagai barangan keperluan.
Artikel Siri 3 sebelum ini Raja Cuti telah berkongsikan tips untuk mengelakkan daripada berlakunya disaster kepada travel bag anda. Siri terakhir Travel Bag akan memberikan anda idea bag jenis apa yang sesuai untuk dibawa ketika bercuti.
Pemilihan beg yang sesuai ketika melancong sangat penting dan ia mengambil kira destinasi yang ingin dituju, itinerari perjalanan, tempoh percutian serta aktiviti dilakukan. Selain itu, saiz beg juga mesti sesuai dengan keperluan sama ada percutian singkat atau lebih seminggu.
Berikut adalah jenis beg dan kesesuaiannya:
- Duffle Bag
Ia merupakan beg bertangkai yang bersifat ringan, mudah disimpan dan lebih mesra bajet. Beg jenis ini mempunyai ruang simpanan yang besar. Ia mempunyai ruangan utama yang besar dan boleh memuatkan peralatan kembara yang pelbagai bentuk atau saiz, malah ada yang mempunyai roda untuk memudahkan pergerakan.
Bagaimanapun, beg ini tidak fleksibel bagi aktiviti lasak atau barangan berat sebaliknya sesuai untuk perjalanan kasual atau sebagai beg sampingan jika beg utama penuh serta digunakan untuk percutian singkat kurang lima hari.
- Luggage Bag
Bagasi mempunyai binaan yang teguh dan saiz yang kompak direka untuk menangani sistem pengangkutan bagasi. Beg jenis ini selalunya mempunyai ruang yang luas dan boleh mengisi banyak barang dan ruangan khusus untuk alatan mandi serta aksesori, malah boleh digunakan membawa perkakas elektrik bersama termasuk makanan kering.
Ciri-cirinya yang beroda sesuai untuk mengangkut muatan berat, mempunyai pemegang dan permukaan luar yang keras menjadikannya sesuai kembara untuk jangka masa lama. Bagasi juga lebih selamat kerana terdapat kod laluan yang menguncinya, selain terdapat dalam pelbagai saiz sesuai dengan barangan ingin dibawa.
- Bag Pack
Ideal untuk mereka yang menjalani gaya hidup kembara yang aktif, lasak dan mencabar. Biasanya dicipta dengan bahan yang tahan lasak selain mudah dipikul dan dibawa ke mana-mana. Sesuai untuk pelancong yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Contohnya jika anda pergi berkhemah, mendaki bukit atau cuti yang santai, beg sandang paling sesuai untuk digunakan kerana anda tidak perlu untuk memegangnya sepanjang masa. Anda juga boleh membawa barang yang sedikit, tetapi mampu memuatkan barangan yang banyak jika bijak mengatur. Kebanyakan beg jenis ini mempunyai rangka dalaman, tali bahu tersembunyi dan ciri-ciri keselamatan.
- Sling Bag
Beg galas sesuai untuk kegunaan kembara yang singkat seperti dua hari satu malam. Ia mempunyai banyak kemudahan daripada segi penyimpanan barang kecil dan mudah digalas ke mana-mana. Ia juga boleh menjadi tempat simpanan tambahan bagi barang-barang yang tidak dapat dimuatkan ke dalam bagasi utama. Malah kini ada beg yang boleh siap charge smart phone taw.
Selain itu, beg kecil ini mempunyai ruang yang selamat untuk melindungi komputer riba anda sekiranya dibawa kembara, ditambah dengan poket yang banyak untuk menyimpan kabel, peralatan, botol air dan makanan ringan. Malah, ia juga boleh dibawa masuk ke tempat duduk dalam penerbangan.
- Document Bag
Beg khas untuk dokumen penting sebagai langkah keselamatan adalah lebih baik jika anda mengasingkan dokumen penting seperti pasport, dompet dan telefon bimbit ke dalam beg yang lain seperti beg silang yang kecil atau beg pinggang. Ia juga memudahkan anda untuk ke mana-mana saja tanpa perlu berasa risau.
Semoga informasi ini sedikit sebanyak membantu anda untuk membuat persediaan sebelum travel ke mana-mana.
#RCEssentials