Mesti anda peningkan nak buat apa lah time cuti sekolah ini. Apa kata anda kumpul satu family lepastu buat BBQ berkelah dekat tepi sungai.
Memang best terok sebab korag boleh bakar-bakar, hiking lepas tu mandi sungai. Ada lah jugak aktiviti daripada duduk terperap dekat rumah sahaja.
Tourism Selangor telah menyenaraikan LIMA spot sungai terbaik yang mungkin menarik minat anda dan keluarga ke sana.
- Sungai Kanching
Terletak di antara Rawang dan Kuala Lumpur, Kanching dikelilingi oleh hutan dan dedaun hijau yang indah. Paling best, dekat sini ada air terjun tujuh tingkat tau. Haa, korang larat ke tak nak naik sampai atas?
Kawasan ini sangat dekat dengan kawasan bandar jadi jangan terkejut jika ramai pengunjung terutamanya pada musim cuti sekolah. Pun begitu, ia adalah kawasan paling sesuai untuk berkhemah, berenang, beriadah bersama keluarga dan aktiviti berjalan kaki dalam hutan!
Yuran kemasukan: RM1 (setiap orang), RM2 (setiap kereta)
- Lata Medang
Air terjun Lata Medang terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Baru dan berdekatan dengan kampung orang Asli. Untuk sampai ke kaki air terjun yang mengagumkan, pengunjung perlu mendaki bukit namun perjalanannya tidak sukar.
Hiking memang penat tapi bila dah jumpa air terjun, sah akan hilang penat korang tu.
Yuran kemasukan: RM1 (setiap orang)
- Sungai Tekala
Terletak di daerah Hulu Langat yang terletak kira-kira 50km dari Kuala Lumpur, Sungai Tekala antara yang patut dikunjungi. Bukan sahaja air sungainya yang bersih dan sejuk, kawasannya juga penuh dengan kehijauan dan cukup menenangkan.
Dibuka kepada orang ramai sejak 1982, Hutan Rekreasi Sungai Tekala adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Lalang yang kemudiannya menjadi sebahagian Taman Warisan Negeri Selangor.
Yuran kemasukan: RM2 untuk dewasa, RM1 untuk kanak-kanak
- Air Terjun Sungai Pisang
Korang yang suka cabaran tu , ini lah tempat sesuai buat korang. Air Terjun Sungai Pisang yang terletak di Lebuhraya Karak juga adalah destinasi yang patut anda kunjung. Anda perlu menggembara selama sejam melalui hutan berusia 100 tahun sebelum anda dapat melihat air terjun yang tersergam indah.
Tapi perjalanan selama sejam itu tidak akan rasa bosan kerana pandangan anda akan ‘sibuk’ melihat pemandangan, bunyi dan bau alam yang menyegarkan. Tetapi sekiranya anda ingin menggembara ke Sungai Pisang, pastikan keluarga, rakan-rakan termasuk Jabatan Perhutanan dimaklumkan tentang rancangan anda.
- Sungai Chiling
Ini merupakan top kawasan yang sentiasa penuh pada hujung minggu. Sungai Chiling disifatkan sebagai kawasan luar biasa dan menarik di Selangor yang terletak di Taman Warisan Negeri Selangor.
Untuk sampai ke kawasan air terjun, pengunjung perlu berjalan kaki selama sejam melalui hutan namun jangan risau kerana trek pendakian tidak sukar. Air terjunnya pula terkenal dengan pancuran luar biasa kerana kedudukannya yang menjunam, memukul sungai yang tenang di bawah.
Terdapat tiga peringkat ke air terjun Chiling namun hanya tingkat pertama dibuka kepada orang ramai.
Sedikit info untuk semua:
Jabatan Perhutanan Selangor baru-baru ini mengeluarkan arahan bahawa semua rizab hutan tetap di negeri ini ditutup dari 1 November hingga 31 Januari 2020.
Jejak hutan, laluan dan semua kemudahan akan ditutup kepada orang ramai dalam tempoh ini. Jika anda tidak pasti sama ada taman atau hutan yang anda merancang untuk dikunjungi termasuk dalam larangan ini, hubungi Jabatan Perhutanan di 03-5544 7498 atau lawati https://www.forestry.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Jabatan Perhutanan Perak juga telah mengeluarkan arahan yang sama; semua aktiviti mendaki akan dihentikan pada tempoh yang sama.
#RCLocalSecret