Gambar : Kuala Lumpur by Hotels.com
Tiba-tiba Cik Gaya rasa bangga sebab dalam kad pengenalan Cik Gaya ada tulis warganegara Malaysia!
Ni semua sebab lepas Cik Gaya baca dalam akhrbar terkemuka dunia dari Amerika Syarikat, New York Times yang mencatatkan Chow Kit dan Sabah antara tempat yang wajib pengunjung dalam dan luar negara terokai.
Korang nampak betapa megahnya negara kita ni di mata dunia?
New York Times melaporkan dua tempat itu antara 52 kawasan yang perlu dilawati pembaca mereka untuk sepanjang tahun ini.
Paling membanggakan, dua tempat dari Malaysia, Chow Kit dan Sabah itu tersenarai pada kedudukan ke 20 dan 28.
Antara destinasi lain yang turut tersenarai ialah Paris, Tokyo, Mesir dan Glacier National Park di AS.
Umum mengetahui Sabah memang menjadi destinasi pelancongan pilihan pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara kerana kepelbagaian tarikan semulajadi yang terdapat di negeri di bawah bayu itu.
Gambar : Deemples.com
Namun, kejayaan Chow Kit berada di kedudukan ke 20 sebagai tempat yang mesti dilawati mesti membuatkan kita tertanya adakah kita terlepas sesuatu yang menarik di sana sehinggakan ia disenaraikan bersama-sama destinasi pelancongan utama dunia yang lain.
Mungkin bagi rakyat Malaysia, Chow Kit terkenal sebagai kawasan pasar yang penuh warna warni kehidupan dan menjadi tumpuan warga kota jika mahu membeli belah kerana lokasinya yang berdekatan dengan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Petaling Street.
Gambar : Theculturetrip.com
Tetapi uols yang masih tertanya-tanya kenapa Chow Kit menjadi salah satu destinasi pilihan New York Times, antaranya terdapat pasar basah terbesar di Chow Kit yang disifatkan sebagai salah satu yang terbesar di negara ini di samping gurdwara Sikh terbesar di Asia Tenggara juga berada di sana.
Gambar : menuinprogress.com
Selain itu, kepelbagaian yang ditawarkan Chow Kit seperti hotel mewah The Chow Kit yang direka oleh Studio Tack daripada Brooklyn dan hotel bertemakan sosial, MoMo juga menjadi sebab utama ia dipilih.
Gambar : Thevocket.com
Bukan saja menawarkan tempat penginapan yang menarik buat para pelancong, Chow Kit menurut Sanjay juga mempunyai barisan restoran yang dipengaruhi dengan binaan dan rekaan arkitek moden menarik seperti Joloko yang bertemakan vibe Caribbean.
Gambar : City Nomads
Selain itu, deretan kelab malam dan bar di The Row yang terletak di kawasan Chow Kit juga menjadikan ia salah satu tarikan terbesar yang membuatkan ia dipilih menjadi destinasi utama untuk dilawati tahun ini.
Deretan kelab malam tersebut sudah berada di sana sejak tahun 1940-an lagi dan kini turut menempatkan restoran, kafe, dan juga galeri seni kreatif.
Jadi, kepada uols yang masih lagi tercari-cari destinasi untuk staycation bersama kawan dan keluarga, tak payah pergi jauh-jauh, apa kata korang jadikan Chow Kit sebagai destinasi pilihan anda selepas ini.
Bukan saja dekat tetapi kita juga akan dapat menerokai keunikan yang terdapat di tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur.