Kota Palembang turut dikenali sebagai ‘Bumi Sriwijaya’ selain nama jolokan yang diberikan oleh dunia barat iaitu ‘Venice of the East‘ disebabkan mempunyai banyak terusan.
Secara geografinya ibu negeri wilayah selatan itu terpisah kepada dua bahagian oleh Sungai Musi iaitu Seberang Ulu dan Seberang Ilir dan ia disambungkan oleh Jembatan Ampera yang merupakan salah satu ikon atau mercu tanda pelancongan di Palembang.
Selain Jembatan AMPERA, 10 tarikan menarik di Palembang yang boleh anda lawati sekiranya anda ke sana
1. Rumah Limas Aziz
Rumah Limas merupakan rumah tradisional atau disebut sebagai rumah adat Palembang. Yang dahulunya rumah ini hanya dibina oleh golongan bangsawan sahaja.
Antara ciri-ciri rumah limas adalah ia dibina berbentuk panggung (rumah bertingkat) dan diperbuat daripada kayu dan atapnya daripada tanah liat. Kalau diperhatikan, rumah limas ini akan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu; luan (bahagian depan), badan ruma atau bahagian utama rumah dan bahagian belakang yang biasanya mempunyai beranda dan dapur.
Di Palembang, masih banyak lagi boleh dijumpai rumah limas yang berusia ratusan tahun, salah satu yang dibuka untuk lawatan dan sebagai destinasi pelancongan ialah Rumah Limas Aziz di Demang Lebar Daun.
2. Muzium Sultan Mahmud Badaruddin II
Terletak di tepi Sungai Musi dan berdekatan dengan Jembatan Ampera. Lokasi muzium sekarang ini merupakan lokasi asal Kuta Lama, istana lama Sultan Mahmud Badaruddin I, pemerintah kesultanan Palembang tahun (1724 – 1758).
Semasa Perang Dunia Ke-2, ia dijadikan markas tentera Jepun sebelum menjadi markas tentera Sriwijaya selepas Indonesia mendapat kemerdekaan. Setelah itu, ia diberikan kepada kerajaan Palembang sebelum dijadikan muzium pada tahun 1984.
Koleksi yang terdapat di dalam muzium ini termasuk tekstil Sumatra Selatan, senjata, pakaian tradisional dan di bahagian taman muzium ini ada terdapat artifak-artifak daripada zaman kegemilangan kerajaan Sriwijaya.
3. Kampung Arab Al-Munawar
Kampung Arab Al Munawar merupakan perkampungan orang berketurunan arab di Palembang. Namanya di ambil sempena nama tokoh iaitu Habib Hasan Abdurrahman Al-Munawar.
Di sini terdapat deretan rumah-rumah lama yang berusia lebih dari 300 tahun. Walaupun berusia, bangunannya masih kukuh dan digunakan sebagai rumah, sekolah dan lain-lain kegunaan.
Perkampungan ini diangkat menjadi destinasi pelancongan pada tahun 2018. Sekiranya anda ke sini, pastikan berpakaian sopan dan menutup aurat ye. Paling tidak, menutup kepala bagi perempuan dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki.
4. Kawah Tekurep
Di sinilah tempat makam yang merupakan pemakaman sultan-sultan dan pemerintah Melayu Palembang pada satu masa dulu. Dari penceritaan orang awam, mereka yang dimakamkan di sini hanyalah waris terdekat atau mereka yang diakui sebagai keturunan sultan serta guru-guru mereka.
Kompleks makam ini dibina pada tahun 1728 dan dibangunkan menggunakan 3 unsur iaitu kapur pasir, putih telur dan batu.
Antara pembesar yang dimakamkan di sini termasuklah Sultan Mahmud Badaruddin I atau nama sebenarnya Sultan Mahmud Badaruddin Joyo Wikromo dan empat orang isterinya; Ratu Sepuh, Ratu Gading, Mas Ayu Ratu dan Nyai Mas Naimah.
5. Pulau Kemaro
Pulau Kemaro ini terletak di sebuah pulau di tengah Sungai Musi. Di sini, terdapat pagoda dan klenteng Buddha yang biasanya akan menjadi tumpuan ramai setiap kali perayaan Cap Goh Meh.
Selain itu, ia juga menyimpan cerita lagenda terkenal di Palembang iaitu kisah percintaan seorang putri raja bernama Siti Fatimah dan seorang saudagar berbangsa tionghua bernama Tan Bun An dan menurut ceritanya, Pulau Kemaro ini dianggap sebagai tempat yang mempunyai keramatnya tersendiri.
6. Kampung Kapitan
Kampung Kapitan merupakan sebuah kampung yang warganya berketurunan Tionghua dan ini merupakan kampong Tionghua yang pertama di Palembang.
Terletak di bahagian Ulu, ia dinamakan sebagai Kampung Kapitan kerana ada seorang dari mereka pada zaman kolonial Belanda dahulu diberikan kepercayaan untuk menyusun bidang pentadbiran atau bertindak sebagai wakil pihak Belanda.
7. Al-Quran Al Akbar
Dirasmikan pada Januari 2012, Muzium atau Kompleks Al Quran Al Akbar ini menyimpan Al-Quran ukiran kayu terbesar di dunia.
Menariknya, setiap lembaran kayu ini diukir sama dengan selembar Al-Quran, bermula dari mukasurat hadapan, hingga akhir.
Menggunakan seni ukiran khas Palembang, kayu yang digunakan adalah kayu tembesu yang mempunyai panjang 166cm dan lebar 140cm dan mempunyai jumlah kurang lebih 315 papan kesemuanya.
Bayaran masuk adalah Rp20,000 untuk dewasa dan Rp15,000 untuk kanak-kanak dan ianya dikira sebagai infaq. Tarikan ikonik pelancongan Palembang ini dibuka setiap hari jam 9 pagi hingga 5 petang.
8. Muzium Balaputradewa
Diambil sempena nama Raja Sriwijaya yang berkuasa pada abad ke-8 dan ke-9, muzium ini menyimpan pelbagai koleksi dari zaman prasejarah, kerajaan Sriwijaya, kesultanan Palembang hinggalah zaman kolonialisme Belanda.
Lebih menarik, di sini juga terdapatnya sebuah Rumah Limas asli yang menghiasi matawang kertas Rupiah bernilai Rp 10.000. (Matawang ini telah ditarik balik dan digantikan dengan yang baru).
9. Candi Ki Gede Ing Suro
Terletak di Jalan Ratu Sianum, Makam Ki Gede Ing Suro ini berada di atas binaan candi yang dibina sekitar abad ke-16.
Ada terdapat 34 makam di kompleks candi ini dan kesemuanya merupakan pengikut Ki Gede sendiri. Menurut sejarah, Ki Gede Ing Suro ini merupakan salah seorang dari 24 orang bangsawan berasal dari Demak yang datang ke Palembang.
Walaupun beragama islam, Makam Ki Gede ini dibina dalam bentuk candi kerana menurut penjaga kawasan ini, pada awalnya pengaruh Hindu dan Buddha amat kuat di sini. Sebagai bukti, boleh dilihat corak-corak berbentuk keagamaan yang terdapat di sekeliling candi.
Namun, setelah kedatangan islam, bentuk candi ini diubah (dibuang bumbung) namun dikekalkan ketinggiannya.
10. Jembatan Ampera
Jembatan Ampera merupakan jambatan pertama yang menghubungkan bahagian hulu dan bahagian hilir Palembang yang terpisah oleh Sungai Musi.
Pergolakan politik tahun 1966 menyebabkan nama jambatan ini diubah dari Jembatan Bung Karno ke Jembatan Ampera = Amanat Penderitaan Rakyat.
Ini juga merupakan salah satu binaan ikonik Palembang dan boleh dikatakan setiap orang yang ke Palembang pasti akan bergambar di kawasan ini.
Artikel berkaitan
Ada Yang Ngidam Converse ‘Rare’? Jom Pergi ‘Selam’ di Kakimoto Shoten
5 Tempat ‘Best’ Harus Pergi di Sepang Selain Bagan Lalang