5 resort atas air yang wow di Malaysia!

0 Comments

Bagi yang mencari percutian santai dan menenangkan di atas vila terapung, negara kita sebenarnya memiliki banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi.

Selain lokasinya yang menakjubkan di atas permukaan air laut, suasana mendamaikan kerana dikelilingi alam semulajadi tropika pastinya bakal membuatkan percutian korang lebih romantik, mewah dan mendamaikan.

Berikut antara resort atas air di Malaysia yang boleh uols pilih untuk bercuti bersama orang tersayang!

1.   Avani Sepang Resort

Terletak di sepanjang pantai, Avani Sepang Resort terkenal dengan vila laut berbentuk kelapa sawit.

Menawarkan lebih 315 bilik yang luas dengan 4 jenis penginapan yang boleh dipilih, resort ini menjanjikan tempat yang tepat untuk bulan madu dan percutian bagi anda sekeluarga.

Dikelilingi oleh perairan Selat Melaka, pemandangan matahari terbenam dapat dilihat dari setiap bilik.

Resort lima bintang ini menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti menyelam, sukan air dan banyak lagi!

 2.   Lexis Hibiscus, Port Dickson

Terletak di sepanjang pesisir pantai Pasir Panjang di Port Dickson, Lexis Hibiscus sememangnya popular dengan jolokan vila berbentuk bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya.

Dengan lebih daripada 600 vila dan suite, Lexis antara vila atas air yang sering menjadi wishlist percutian bagi pasangan untuk berbulan madu.

Setiap vila di resort ini dihiasi dengan rekaan dalaman yang moden dan elegan, manakala salah satu bahagian terbaik mengenai vila ini ialah kolam renang peribadi dan saunanya! 

Di sini uols juga berpeluang untuk mencuba aktiviti memberi makanan kepada ikan-ikan di laut, yang tentunya pasti menyeronokkan dan memberi pengalaman berbeza.

3.   Gayana Marine Resort, Sabah

Bercuti di sini bakal menikmati 2 pakej keindahan semulajadi yang menakjubkan iaitu berada di atas laut dengan menghadap pemandangan mempesonakan gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.

Terdapat lebih daripada 52 vila tropika yang dikelilingi hutan bakau dan laut yang luas.

Pada waktu malam korang hanya ditemani dengan bunyi mendamaikan daripada hempasan ombak-ombak kecil di bawah bilik penginapan uols.

Selain aktiviti snorkeling atau menyelam, di sini juga korang boleh melawat Pusat Penyelidikan Ekologi Marin bagi menambahkan pengetahuan mengenai pemeliharaan terumbu karang dan hidupan laut yang semakin terancam.

4.   Gem Island Resort & Spa, Terengganu

Resort yang terletak di pulau persendirian, Pulau Gemia ini sangat ekslusif dan romantik buat pasangan yang memilih untuk bermadu kasih di sini.

Bakal dibuka semula mulai 1 Mac nanti kerana berakhirnya musim monsun, resort ini menawarkan kira-kira 45 buah vila yang menghadap ke laut.

Istimewanya jika bercuti di sini, uols dan pasangan berpeluang untuk melihat secara dekat penyu yang mendarat untuk menetaskan telur di pulau tersebut. 

Tentunya ia merupakan sebuah pengalaman berharga yang susah untuk didapati di mana-mana.

5.   Avillion, Port Dickson

Diilhamkan oleh suasana perkampungan nelayan Melayu, resort bertaraf 5 bintang ini hanya menghidangkan layanan dan servis terbaik buat tetamunya.

Dengan pemandangan Selat Melaka, terdapat lebih 250 bilik yang direka khas sebagai chalet dan vila terapung yang dilengkapi balkoni peribadi menghadap laut, bilik mandi berlangitkan awan biru dan tab jakuzi sendiri!

Soal makan, resort ini menawarkan hidangan lazat dengan menu tempatan hingga hidangan antarabangsa yang pastinya membuka selera korang!

Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju

Leave a Reply

Your email address will not be published.