Nak berendam? Ini port air terjun yang best

0 Comments

Malaysia mempunyai banyak tempat pelancongan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelancong. Salah satu darinya ialah air terjun. 

Tapi kat mana air terjun yang best? Jom check it out! 

Air terjun Kemensah

Air terjun Kemensah atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Batu Asah terletak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Selangor. Jaraknya hanya 15km dari Kuala Lumpur. Ia termasuk dalam kawasan hutan simpan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Bagi pengunjung yang ingin ke sana, lokasi air terjun ini tidak jauh dari Zoo Negara.

Pemandangan air terjun Kemensah

Sebenarnya Air Terjun Kemensah ini bukanlah air terjun tinggi yang mengagumkan dengan kawasan berbatu dan kolam semulajadi seperti air terjun lain. Ia hanya lebih kepada sungai yang telah dibangunkan dan kolam mandi dibina lebih besar sesuai untuk orang-ramai mandi. Sebab itu ramai juga yang mengenali tempat ini sebagai Sungai Kemensah.

Aktiviti menarik yang boleh dilakukan selain mandi kolam ialah menunggang ATV. Ada beberapa operator pelancongan (chalet) yang menyediakan perkhidmatan ini. Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti perkhemahan dan bbq untuk memberi pengalaman baru pada anak-anak. 

Kemudahan asas yang disediakan termasuk jalanraya hingga ke kawasan air terjun, tandas dan surau. Pengunjung perlu menyewa untuk kemudahan lain seperti tapak perkelahan, gazebo, bilik persalinan dan chalet penginapan. Tiada restoran atau kedai makan di sini. Jadi jangan lupa untuk membawa bekalan makanan secukupnya.

Air terjun Serendah

Air terjun Serendah terletak di daerah Hulu Selangor, iaitu kira-kira 35km dari Kuala Lumpur. Perjalanan dari Rawang ke Serendah mengambil masa lebih-kurang 20 minit. Pengunjung akan melalui perkampungan orang asli sebelum tiba ke kawasan air terjun. Jalan berturap tetapi agak sempit.

Air terjun Serendah

Terdapat beberapa tingkat air terjun semulajadi menarik yang ada di sini. Airnya sejuk dan kawasan sekitar dikelilingi pokok-pokok hutan yang menghijau. Ia merupakan air terjun menarik di Selangor yang menjadi lokasi popular perkelahan di hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Kalau korang lebih gemarkan suasana tenang alam semulajadi, Air terjun Serendah pasti tidak mengecewakan. Kemudahan asas turut disediakan di sini termasuk gerai makanan ringan, bilik persalinan, tandas, pondok (wakaf) dan kawasan perkhemahan.

Air terjun Chamang

Air terjun Chamang terletak di Hutan Lipur Sungai Chamang, iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi, daerah Bentong, Pahang. Jarak air terjun ini ialah kira-kira 8km dari bandar Bentong. Air terjun Chamang sangat cantik dan menjadi destinasi percutian popular pelancong di negeri Pahang.

Air terjun Chamang

Keunikan air terjun Chamang ialah ia terletak dalam kawasan hutan yang kaya dengan flora dan fauna. Air terjunnya berarus deras dan mengalir di atas batu yang terhampar.

Aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain mandi-manda ialah berkelah, aktiviti perkhemahan dan jungle trekking. Kemudahan asas yang disediakan ialah kawasan meletak kereta, tapak perkhemahan, tandas, bilik persalinan dan tempat bbq.

Air terjun Sekayu

Anda suka dengan air terjun Chamang? Kalau korang melancong ke Terengganu, ada air terjun menarik yang boleh dikunjungi iaitu air terjun Sekayu. Air terjun cantik ini terletak di Hutan Lipur Sekayu, daerah Hulu Terengganu. Jarak dari pekan Kuala Berang ialah kira-kira 16 kilometer. Jika melalui Lebuhraya Pantai Timur, anda boleh ikut persimpangan Ajil.

Air terjun Sekayu mempunyai tiga tingkat air terjun yang mempersonakan. Selain mandi-manda, pengunjung yang gemar menikmati keindahan dan suasana alam semulajadi boleh menginap di kawasan peranginan ini. 

Kemudahan yang disediakan di kawasan air terjun ini ialah chalet penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tapak perkhemahan dan trek jungle trekking.

Air terjun Sekayu di Terengganu yang sangat cantik.

Air terjun Berkelah

Inginkan air terjun yang betul-betul menarik dan lebih semulajadi? Air terjun Berkelah di Pahang ini pasti tidak mengecewakan. Ia sangat terkenal di kalangan peminat air terjun di Malaysia. Lokasi air terjun ini ialah di daerah Maran, kira-kira 45km dari Bandar Kuantan.

Air terjun Berkelah menarik kerana mempunyai air terjun yang tinggi, kolam yang luas dan dalam serta air yang sejuk menyegarkan. Terdapat tujuh tingkat air terjun tetapi untuk ke air terjun yang ke tujuh pengunjung perlu berjalan dan mendaki agak jauh. 

Namun pemandangan air terjun yang menarik dan suasana damai di sini pasti menenangkan perasaan sesiapa sahaja.

Kawasan air terjun Berkelah juga sesuai untuk perkhemahan. Kemudahan asas yang ada di kawasan air terjun ini ialah tandas, bilik mandi, pondok rehat dan gerai makanan.

Air terjun Berkelah yang cantik.

Air terjun Gunung Ledang

Terletak di Sagil, Tangkak, Johor. Ia juga dikenali dengan Air terjun Sagil. Air terjun ini mempunyai kolam cetek yang sesuai untuk anak-anak mandi di bahagian bawah. Kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai yang datang berkelah di hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan air terjun Gunung Ledang, korang perlu mendaki sedikit untuk ke air terjun di kawasan atas dan view dia sangat nais! 

Air terjun Gunung Ledang yang popular.

korang mungkin berminat baca:
Jom try makan burger ada skirt!
8 Tempat Makanan Terbaik Wajib Anda Serbu di Tangkak

Leave a Reply

Your email address will not be published.