Jika korang bercuti atau jalan-jalan ke Kota Bharu, Kelantan dan ingin merasai hidangan sarapan istimewa yang agak ‘rare’ serta luar biasa, korang boleh cuba menikmati ‘Roti Canai Ular’!
Selalunya roti canai ditebar dengan bentuk empat segi atau bulat, namun di sebuah warung roti canai di Kampung Kubur Kuda, pemiliknya yang bernama Che Harun Ali membuat sedikit kelainan dengan menebar juadah popular itu berbentuk ular.
Meskipun, cara yang digunakan itu mungkin nampak agak menggelikan di mata segelintir orang ramai, namun persembahan menebar roti canai berbentuk ular tersebut semakin berjaya menambat hati pelanggan kerana semakin ramai yang mengunjungi gerainya untuk menikmati roti canai ular.
Warung itu yang dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 11 malam kini menjadi perbualan di media sosial selepas gambar roti canai ular itu viral dan menjadi sebutan ramai.
Menurut Che Harun Ali, ada kisah tersendiri di sebalik ideanya menghasilkan roti canai ular itu.
Permulaan idea itu tercetus ketika dia dikejutkan dengan kehadiran seekor ular ketika leka menebar roti canai di rumahnya.
Bertitik tolak dari situ, dia mula menghasilkan roti canai berbentuk ular yang kini menjadi popular di Kota Bharu, Kelantan.
Berbekalkan pengalaman selama 30 tahun sebagai penebar roti canai, Che Harun kini menghasilkan makanan kegemaran ramai itu dengan pelbagai perisa.
Roti canai ular perisa Milo, Nestum, keju dan susu yang dijual pada harga RM1.20 hingga RM3 bergantung pada perisa dan saiz itu antara yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan-pelanggannya.
Kata Che Harun, cara pembuatan roti canai ular pelbagai perisa adalah sama dengan roti canai yang lazim dijual, cuma dibentuk seperti ular dan digulung bersama perisa yang menjadi pilihan pelanggan.
Menyedari terdapat pelanggan yang ‘kurang selesa’ atau berasa ‘geli’ dengan bentuk ular, Che Harun masih menawarkan roti canai berbentuk bulat atau empat segi seperti yang banyak dijual.
korang mungkin berminat baca:
Jom try makan burger ada skirt!
8 Tempat Makanan Terbaik Wajib Anda Serbu di Tangkak