Pulau Rawa: ‘Hidden Gem’ Malaysia!

0 Comments

Kalian mungkin pernah dengar tentang Pulau Rawa tetapi Dang Sari yakin sebenarnya, tidak ramai yang pernah sampai ke sana, bukan? Jadi, hari ini, Dang Sari akan kongsikan kepada pembaca Dang Sari yang kini semua duduk di rumah disebabkan perintah PKP tentang Pulau Rawa, “hidden gem” terindah di Malaysia.

Pulau Rawa ini Dang Sari ibaratkan sebagai sebuah mutiara yang tersimpan rapi. Apa istimewanya di sini ialah keindahan semula jadi yang sangat terjaga, air laut yang jernih kebiru-biruan dan pasirnya memutih yang terletak di kawasan Taman Marin Sultan Iskandar, Johor.

Kredit : unsplash

Dari jauh pastinya anda akan terpegun dengan pasirnya yang seolah-olah tidak pernah dijejak oleh sesiapapun. Bahkan air lautnya sangat cantik dan bersih mendamaikan pandangan dan sangat sesuai untuk merehatkan minda.

Kiri dan kanan pulau ini pula dikelilingi oleh laut dan keindahan alam, setanding hebatnya dengan Kepulauan Maldives. Malah, sebenarnya di Pulau Rawa Mersing, ia menawarkan lebih dari apa yang terbaik bagi mereka yang sukakan percutian pula dan juga syurga buat peminat sukan snorkeling serta penyelam skuba.

Kredit : unsplash

Bagi yang meminati aktiviti keindahan alam, Pulau Rawa hill top mungkin akan menjadi tarikan sampingan. Naik ke puncak bukit ini, hanya beberapa meter dengan ketinggian beberapa anak tangga, anda akan terpesona dengan pemandangan waktu senja dan juga pemandangan waktu matahari terbit. Indahnya ciptaan Tuhan.

Kawasan mandi di sekitar pantai Pulau Rawa memang cantik gais! Air yang masih jernih kehijauan dan kebiruan ditambah dengan keindahan batu karang serta ribuan anak-anak ikan laut. Memang cantik. Lebih teruja bila terdapat gelongsor air (slide) yang membawa anda terus ke laut.

Tidak cukup dengan mandi, alami sendiri pemandangan dalam air dengan melihat batu karang (coral) dan ikan-ikan yang cantik berenang di persisir pantai. Kalau nak selam scuba, pun boleh. Pastikan anda mempunyai lesen scuba untuk memudahkan urusan pendaftaran.

Pulau Rawa ini boleh dikategorikan sebagai ‘private island’ kerana dimiliki oleh kerabat kesultanan Johor. Ianya sangat dijaga rapi di mana feri awam dan bot nelayan tidak dibenarkan melalui kawasan berhampiran pulau ini. Pengunjung yang dibenarkan masuk hanyalah mereka yang telah membuat tempahan sahaja.

Kredit : Pulau Rawa

Hanya dua resort sahaja yang ada di pulau ini iaitu Rawa Island Resort (www.rawaislandresort.com) dan Alang’s Rawa (www.alangsrawa.com).

Keduanya mempunyai konsep penginapan yang berbeza. Rawa Island Resort lebih bersifat mesra keluarga, persekitarannya tenang dan mendamaikan. Manakala Alang’s Rawa sesuai untuk backpacker, suasananya relaks dan santai.

Kredit : Rawa Island Resort

Harga pakej di Alang’s Rawa lebih murah berbanding Rawa Island Resort. Selain itu, harga pakej pada hari biasa pula lebih murah berbanding hujung minggu.

Pakej standard merangkumi penginapan 2 malam, pengangkutan bot pergi dan balik, serta makanan disediakan (sarapan, makan tengah hari dan makan malam). Makanannya sedap, memenuhi citarasa dan cukup mengenyangkan.

Alang’s Rawa berkonsepkan minimal dan basic. Bilik penginapan tanpa tv, wifi, hot shower dan aircond (hanya ada kipas).

Kredit : Alang Rawa

Resort ini mempunyai polisi di mana kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dibenarkan pada hari Ahad – Jumaat, manakala hujung minggu (khususnya Sabtu malam Ahad) untuk dewasa sahaja. Ini kerana Alang’s Rawa menjadi pilihan pelancong asing untuk berparti hingga tengah malam dan keadaan menjadi agak bising.

Tips: Bawa earplug untuk tidur yang lebih nyenyak.

Pulau Rawa boleh diibaratkan sebagai Maldives Malaysia. Setelah berkunjung ke Maldives dan kemudian ke Rawa, saya tanpa ragu mengiyakan. Kecantikan asli Pulau ini masih terpelihara. Pasir pantainya halus memutih, air lautnya jernih kebiruan.

Maka, cuti-cuti Malaysia je lah! Jangan ada yang pergi pula time PKP ini ye, karang korang kena tangkap, Dang tak tahu… Hehe

Artikel berkaitan
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju
Kedai Mie jamu mata pengunjung dengan Jalur Gemilang setiap hari

Leave a Reply

Your email address will not be published.