10 Port Makan Di Ipoh Dijamin Padu Beb!

0 Comments

Ipoh merupakan bandar di Perak yang sangat popular. Buktinya, setiap kali cuti, ianya pasti akan dibanjiri dengan pelancong. Lambakan kafe moden serta tempat makan yang sedap-sedap merupakan antara tarikan utama bandar ini.

Sambil melancong, anda pasti mahu menikmati sarapan yang lazat, bukan? Jadi, berikut kami senaraikan 10 port sarapan di Ipoh buat anda. Teruskan membaca!

1.   Suhaimi Café

Kredit: Suhaimi Cafe

Suhaimi Café ini merupakan kafe yang sangat terkenal dengan Roti Benggali. Ianya juga menyajikan hidangan sarapan lain.

Roti Benggali ini merupakan roti bakar yang tebal dan cukup lembut. Hidangan ini bertambah enak apabila dicecah bersama kuah kari. Selain itu, anda boleh juga cuba mi kari yang sama enaknya.

Untuk minuman pula, ramai pelanggan memesan Kopi Vietnam kerana teksturnya yang lebih pekat berbanding kopi biasa. Secawan kopi Vietnam ini boleh membangkitkan mood pagi anda, percayalah!

2.   Plan B Ipoh

port sarapan ipoh

Asyik sarapan menu tempatan sahaja. Korang pasti inginkan kelainan, bukan? Jika ya, cubalah sarapan English di Plan B Ipoh ini. Bukan sahaja enak, malah mengenyangkan!

Bagi peminat kafe moden, anda pasti sudah pernah terdengar nama kafe ini. Plan B merupakan antara kafe hipster yang paling terkenal di Ipoh dan salah satu tarikan utamanya ialah menu yang berbagai.

Menu sarapan yang wajib dicuba di sini ialah set Big Breakfast. Nama pun ‘big’, semestinya saiz hidangannya besar. Ianya menyajikan kacang panggang, croissant, daging ayam, telur hancur dan banyak lagi, dijamin mengenyangkan!

3.   Green Town Dimsum Café

Kredit: foursquare

Terlebih dahulu, Dang Sari ingin maklumkan yang makanan yang disajikan di restoran ini disahkan halal. Jadi, jangan risau untuk mencubanya, kerana ianya bukan sahaja halal malah sedap-sedap belaka!

Menarik juga jika anda menikmati dimsum sebagai sarapan, bukan? Dimsum yang disediakan ada berbagai jenis, dan Fried Prawn Dumplings merupakan dimsum yang terlaris. Selain itu, anda juga boleh mencuba mi wantan mereka.

4.   Restoran Mee Rebus Ramli

Mungkin mi rebus kedengaran seperti hidangan yang biasa dh korang nikmati tetapi mi rebus yang disajikan di Restoran Mee Rebus Ramli ni bukan kaleng-kaleng, keenakannya memang luar biasa!

Buktinya, restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan walaupun baru awal pagi. Jadi, anda harus datang awal untuk mencuba mi rebus yang laris bagai goreng pisang panas ini.

Ramai pelanggan mengakui yang mi rebus di sini memang setanding dengan mi rebus asli Johor. Harganya juga sangat berpatutan, cuma RM5 semangkuk! Selain itu, nasi ayam juga turut disediakan di sini.

5.   Restoran New Hollywood

Kredit: menarikdi.com

Jika anda ke Ipoh namun tidak singgah di restoran ini, anda memang rugi! Restoran New Hollywood ini merupakan restoran yang cukup terkenal di Ipoh.

Di sini ada menyajikan berbagai jenis makanan yang sedap rasanya dan berpatutan harganya. Makanan yang disajikan kebanyakannya merupakan makanan Cina yang halal.

Antara yang anda wajib cuba ialah cakoi, dim sum, Chee Cheong Fun dan mi wantan. Menu-menu ini merupakan antara yang terlaris, jadi memang rugi kalau anda tak pesan!

6.   Mee Kari Kak Yah (Silibin)

mi kari
Kredit: foursquare

Mengidam ingin menikmati mi kari untuk sarapan? Di Ipoh, ada satu gerai mi kari yang cukup popular sekitar Taman Keledang Jaya – Mee Kari Kak Yah.

Ramai memuji kuah karinya yang sangat pekat, cukup enak dimakan panas-panas. Ditambah pula dengan isi ayam yang banyak bersama jumlah tofu yang tidak kedekut.

Selain mi kari, anda juga boleh cuba roti telur goyang yang juga merupakan menu terlaris di sini. Memang enak dinikmati bersama kopi  O panas sebagai sarapan!

7.   Sajian Gjee

gjee
Kredit: foursquare

Restoran Sajian Gjee ini sangat terkenal dengan masakan kampung seperti nasi campur. Selain itu, ianya juga menawarkan menu sarapan yang berbagai.

Anda boleh cuba nasi lemak di sini. Lauk-pauk yang disediakan juga ada berbagai, pilih sahaja sambal tempe atau sambal ayam. Roti canai juga boleh didapati, memang beraneka!

8. Restoran Halimah Bachik

Kredit: Maisinggah

Ada sesetengah restoran yang popular gemar menawarkan harga yang mencekik darah untuk hidangan mereka. Namun, berbeza pula dengan Restoran Halimah Bachik ini.

Restoran ini menawarkan makanan pada harga yang sangat berpatutan. Ianya juga dikenali sebagai antara port sarapan yang terkenal di Ipoh, jadi memang rugi jika anda tak singgah.

Antara menu sarapan yang boleh anda cuba ialah Nasi Ayam Hainan. Menu ini merupakan menu yang terlaris disebabkan oleh keenakannya yang tidak terhingga. Jangan lupa menikmatinya bersama sosnya, dijamin sedap!

9.   D’Naina Ipoh

Kredit: maxresdefault

Selalunya menu sarapan yang menjadi pilihan ialah nasi lemak atau roti canai. Kali ini, apa kata anda cuba naan keju pula? Restoran D’Naina Ipoh ini tidak menyediakan naan keju yang biasa-biasa.

Lihat sahaja di dalam gambar di atas, kejunya cukup panjang bila ditarik – jelas menunjukkan betapa banyaknya jumlah keju yang diletakkan. Jangan risau, ianya tidak memuakkan tetapi menyelerakan!

Rotinya juga tebal, jadi kalau anda makan seorang dalam keadaan perut kosong pun anda akan dijamin kenyang. Di atas naan keju itu sendiri ada diletakkan sos keju, boleh minta lebih jika korang suka cheese lebih.

10.   Mee Kicap Mat Jasak

Kredit: OneApss

Hidangan mi merupakan antara menu sarapan wajib orang kita di samping nasi dan roti. Biasanya anda cuba mi rebus dan mi kari, kali ini apa kata anda cuba mi kicap di Mee Kicap Mat Jasak pula?

Ianya bukan mi kicap kosong yang tawar rasanya tau! Mi kicap di sini memang sangat popular, boleh dikatakan menjadi rebutan ramai sehinggakan ada yang sanggup menunggu lama.

Selain mi kicap, hidangan lain seperti mi kari dan kuey teow sup juga turut disediakan. Anda boleh memilih lauk-pauk untuk ditambah seperti isi ikan, sosej, ketam dan kerang.

Bagaimana? Sudah jumpa port sarapan yang anda ingin singgah? Atau anda mula tertarik dan ingin singgah di kesemuanya? Jangan gelojoh, singgah sahaja satu persatu jika berkesempatan lepas PKP nanti.

Artikel berkaitan:
6 Makanan Eksotik Halal Wajib Cuba di Malaysia
Cara Buat Sushi Ikut ‘Tekak Melayu’

Leave a Reply

Your email address will not be published.