Rugi Kalau Tak Cuba 9 Tempat Makan Best Di Bentong & Janda Baik

0 Comments

Kepada yang masih tercari-cari tempat makan best sekitar Bentong dan Janda Baik, jangan susah hati! Berikut Dang Sari senaraikan 9 tempat makan menarik sekitar dua kawasan ini yang boleh korang kunjungi.

Ada pelbagai jenis hidangan yang boleh anda temui, dari hidangan Barat ke tempatan, semuanya ada. Senarai ini juga tidak mengikut ‘ranking’ tau, jadi teruskan membaca ya!

1.   Lemang To’ki

Kredit: JMR

Jangan terkejut jika Dang Sari katakan yang di Bentong, terdapat sebuah restoran lemang yang bukan sahaja terkenal di Pahang, malah di seluruh Malaysia.

Buktinya, rata-rata pelanggan yang singgah di sini datang dari pelbagai negeri. Restoran ini sangat mementingkan kualiti lemangnya, jadi tidak hairanlah lemangnya sangat digemari ramai.

Rasa lemangnya yang cukup enak dan berlemak, ditambah pula dengan rendang daging atau ayamnya yang tidak kurang hebatnya – satu gabungan yang cukup sempurna.

2.   Pintô Coffee+

https://saji.my/wp-content/uploads/2019/06/Screenshot_20190625_203928.png
Kredit: Pintô Coffee+

Teringin untuk menghirup kopi yang hangat sambil menghirup udara yang segar? Singgah sahaja di Pinto Coffee, sebuah kafe yang cukup sesuai untuk mereka yang ingin menikmati makanan dan minuman sambil mencari ketenangan.

Untuk penggemar kopi, Dang Sari cadangkan supaya korang cuba French Press Coffee, Caramel Macchiato dan Avocado Ice-blended Coffee. Rasa kopi yang pekat dan aroma yang memikat memang bikin ramai ketagih.

Selain itu, pencuci mulut seperti kek, skon dan penkek juga turut disediakan. Jika korang datang bersarapan di sini, wajib cuba penkek mereka sambil menikmati pemandangan yang cukup cantik.

3.   Ikan Bakar Sri Tanjong

https://saji.my/wp-content/uploads/2019/06/sotong-bakar-@-Ikan-Bakar-Sri-Tanjong.jpg
Kredit: GoBentong

Mengidam ikan bakar dan makanan laut? Restoran Ikan Bakar Sri Tanjong ini memang terkenal dengan kedua-dua hidangan tersebut tau!

Rata-rata pelanggan memuji ikan bakar yang dibakar dengan cukup sempurna. Ikan bakarnya memang segar dan setelah dibakar, isinya cukup ‘juicy’. Dimakan bersama sambal, sekali rasa pasti nak lagi!

Bukan sahaja ikan bakar, malah sotong bakar juga turut digilai ramai pelanggan di sini. Saiz sotong bakar juga agak besar, menjanjikan bukan sahaja keenakan malah kekenyangan yang teramat.

4.   Nasi Ayam Pak Hamid

Kredit: Foursquare

Mahu menikmati nasi ayam yang bukan sahaja lazat, malah berpatutan harganya? Restoran Nasi Ayam Pak Hamid di Bentong ini pasti menepati citarasa anda.

Nasi ayam di sini bukan biasa-biasa sedapnya. Ayamnya yang garing dan sambalnya yang pedas merupakan punca utama menu ini begitu disukai.

Bukan itu sahaja, harga yang ditawarkan juga murah tau. Tak kena dengan harga disebabkan saiz hidangannya juga agak besar, jadi memang berbaloi jika anda makan nasi ayam di restoran Nasi Ayam Pak Hamid ini, Dang Sari berani jamin!

5.   Kopi n Kraf

Kredit: tripadvisor

Kafe ini bukan sahaja terkenal dengan makanannya, malah konsep dekor tradisionalnya juga turut dipuji ramai. Suasana di sini juga nyaman, sangat sesuai buat korang yang ingin bersantai.

Hidangan yang disajikan di Kopi n Kraf ini berasaskan makanan tempatan dan Indonesia. Antara yang korang boleh cuba ialah Chicken Kuzi, Indonesian Soto & Bakso, Nasi Ayam Penyet dan banyak lagi.

Ramai pelanggan mencadangkan menu Kuzi Curry yang dikatakan cukup enak dimakan bersama roti. Cukup sesuai dinikmati untuk makan petang.

6.   Restoran Tawakal

https://saji.my/wp-content/uploads/2019/06/lamb-chop-@-restoran-tawakal-e1561471074127.jpg
Kredit: Restoran Tawakal

Restoran Tawakal ini mula beroperasi sejak tahun 1990 lagi gais! Walaupun sudah hampir 30 tahun beroperasi, restoran ini merupakan antara restoran yang kerap dikunjungi pelanggan khususnya penduduk setempat yang amat menggemari masakan di sini.

Restoran ini menghidangkan pelbagai jenis hidangan. Ada hidangan tempatan, Barat, Thailand dan juga Mamak. Antara hidangan yang cukup popular di sini ialah Lamb Chop dan murtabak, dijamin lazat!

7.   Deen Burger Bakar

https://saji.my/wp-content/uploads/2019/06/burger-@-deen-burger-bakar-e1561472587493.jpg
Kredit: Deen Burger Bakar

Walaupun restoran ini baharu sahaja beroperasi sekitar tahun 2012 namun sambutan yang diterima amatlah menggalakkan.

Deen Burger Bakar tidak menyediakan burger yang biasa-biasa. Jika dilihat, saiz burger bakar di sini memang besar. Jika makan seorang, pasti kenyang tak terhingga!

Antara burger bakar yang disediakan ialah burger Musa Ayam, Musa Daging dan yang paling unik, burger UFO yang dihidangkan bersama Onion Ring di atas burgernya.

8.   Nero Bianco Deli

Kredit: Travel Better With Tripify

Jika korang teringin untuk menikmati makanan Barat, lekaslah terjah Nero Bianco Deli yang terletak di Kampung Janda Baik ini!

Antara menunya ialah Fish & Chip, Garlic Bread, Lasagna, dan banyak lagi! Suasana restoran juga cukup santai, sangat sesuai untuk korang yang ingin makan sambil meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

9.   Satay Warisan Pak Chu

Kredit: Facebook Satay Warisan Pak Chu

Restoran ini mula beroperasi secara kecil-kecilan pada tahun 1993 dan kini ianya merupakan antara sate yang paling ‘top’ di Bentong iaitu Satay Warisan Pak Chu.

Antara sate yang dihidangkan ialah sate daging dan yang paling istimewa, sate ayam. Daging ayamnya lembut namun rangup di luar, pasti lebih enak dimakan bersama kuah satenya yang istimewa!

Jadi, tempat makan mana yang anda mahu serbu dahulu lepas PKP nanti? Pasti ada pembaca yang sudah rambang mata dan memasang niat untuk ke tempat-tempat yang kami senaraikan, bukan?

Anda juga digalakkan untuk datang awal supaya tidak berebut ruang parkir dan ruang dalam restoran di kemudian hari. Selamat menjamu selera!

Artikel berkaitan:
Ada Yang Berani Nak Cuba Aiskrim Telur Buaya?
10 Port Makan Di Ipoh Dijamin Padu Beb!

Leave a Reply

Your email address will not be published.