Entah kenapa baru-baru ini Budak Kaca Mata sangat teruja untuk mengenali negara Mongolia dengan lebih dekat. Kalau lihat dari laman web dan page-page travel, belum begitu ramai orang Malaysia yang berkongsi tentang trip mereka ke Mongolia.
Disebabkan BKM dah jatuh cinta dengan Mongolia walaupun hanya dari jauh, BKM senaraikan dahulu 7 fakta menarik tentang Mongolia.
1. Beza Antara Inner Mongolia Dan Outer Mongolia
Bila kita sebut negara Mongolia, ianya merujuk kepada Outer Mongolia, iaitu kawasan-kawasan di sebelah Utara Gurun Gobi. Outer Mengolia menjadi sebuah negara merdeka pada 29 Disember 1921, selepas berjaya keluar dari pemerintahan China.
Antara kawasan terbesar di Outer Mongolia adalah Ulaanbaatar (ibu negara Mongolia), Erdenet dan Darhan. Ulaanbaatar memiliki populasi rakyat terbesar iaitu lebih kurang seramai 1.3 juta orang.
Inner Mongolia pula terdiri dari kawasan-kawasan di sebelah selatan Gurun Gobi, yang sehingga kini, masih di bawah jajahan China.
Antara kawasan terbesar di Inner Mongolia adalah Tongliao, Hulunbuir, Ulanqab dan Bayannur dengan populasi rakyatnya paling kurang pun seramai 1.7 juta orang.
2. Pemimpin Tersohor Mongolia
Bila sebut Mongolia, pasti nama Genghis Khan akan terbayang di minda kita. Genghis Khan dilahirkan pada tahun 1162 di Deluun Boldog, berhampiran dengan bukit Burkhan Khaldun, tidak jauh dari ibu kota Ulaanbaatar sekarang.
Nama asal semasa beliau dilahirkan adalah Temüjin. Genghis Khan mula menjadi pemimpin muda yang hebat pada usia 20 tahun, hingga berjaya menjadi ketua puak Borjigin Mongol.
Selepas berdepan dengan pelbagai peperangan dalaman selama lebih kurang 20 tahun, beliau telah berjaya menyatukan kebanyakan puak Mongol yang bertelagah sebelumnya.
Pada tahun 1206, beliau dinamakan Genghis Khan, yang antara lain bermaksud “Raja Lautan” atau “Raja Universal.”
Selepas Genghis Khan meninggal dunia pada bulan Ogos 1227, mayatnya dibawa pulang ke Mongolia dan dikebumikan di kubur yang tidak bertanda, bagi memenuhi permintaannya sendiri.
3. Cuaca
Mongolia mempunyai empat musim iaitu musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Walau bagaimana pun, Mongolia menikmati lebih daripada 250 hari cahaya matahari setahun, yang telah membolehkannya digelar sebagai “Land of the Blue Sky” atau “Country of the Blue Sky”.
Walaupun kebanyakan kawasan selalunya mengalami cuaca yang panas, suhu di Mongolia boleh turun sehingga -30 darjah Celsius pada musim sejuk. Malah, Ulaanbaatar merupakan ibu negara yang paling sejuk di dunia, dengan suhu purata -1.3 darjah Celsius.
4. Gaya Hidup Nomad
Rakyat Mongolia kebanyakannya mengamalkan gaya hidup nomad dan tinggal di “ger”, yang merupakan sejenis khemah diperbuat dari kayu dan dilitupi oleh kain jenis felt.
Kediaman mudah alih ini ringan dan mudah dipasang atau dibuka, bagi memudahkan rakyat Mongolia berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
5. Sukan
Acara sukan tahunan terbesar di Mongolia adalah perayaan Naadam, yang kebiasaannya diadakan pada bulan Julai setiap tahun.
Acara yang paling penting pada perayaan ini dipanggil “eriin gurvan naadam” yang bermaksud “tiga permainan lelaki” iaitu memanah, gusti, dan perlumbaan kuda.
6. Populasi Haiwan
Antara haiwan yang banyak di Mongolia adalah harimau bintang salji (snow leopard), unta Bactrian (Bactrian camel) dan kuda liar “Takhi”.
Setakat tahun 2018, terdapat lebih kurang 1,000 ekor harimau bintang salji (snow leopard) di Mongolia. Harimau bintang salji ini tidak boleh mengaum dan tidak pula boleh mengiau.
Beberapa pihak persendirian telah mengambil inisiatif untuk memastikan populasi harimau bintang salji tetap terkawal, walaupun mereka diancam kepupusan akibat dibunuh samada untuk bulunya atau kerana memakan unta, kuda atau kambing milik rakyat Mongolia.
Unta Bactrian (Bactrian camel) yang memiliki dua bonggol ini memang berasal dari Mongolia namun populasi unta ini telah menurun dalam tempoh 12 tahun yang lalu, menyebabkan beberapa badan persendirian berusaha keras untuk mengekalkan populasinya di Mongolia.
Kebanyakan unta Bactrian hidup nomad bersama rakyat Mongolia, walaupun ada juga yang hidup bebas di Gurun Gobi. Selain unta, rakyat Mongolia juga tak lekang dengan kuda. Kuda di Mongolia dipanggil sebagai Takhi, perkataan Mongol yang bermaksud “semangat”.
Kuda Takhi dikatakan satu-satunya spesis kuda yang benar-benar liar di dunia. Kuda Takhi digunakan sebagai medium pengangkutan atau digunakan dalam perlumbaan kuda contohnya semasa perayaan Nadaam.
7. Pengaruh Islam
Di bawah Dinasti Yuan Kublai Khan, Islam telah tersebar sehingga ke China. Marco Polo juga mencatatkan bahawa penduduk wilayah Yunnan di bawah Mongol adalah orang Islam dan mempunyai gabenor Islam, Sayyid al-Ajall.
Keturunannya masih wujud di China dan makam Sayyid-al Ajall di Yunnan adalah monumen kesenian Islam yang penting di China.
Teruja untuk ke Mongolia selepas membaca fakta-fakta di atas? Jujurnya, BKM teruja dan harapan semoga dapat sampai juga ke negara yang masih kategori raw dan untouchable ini.
Sumber: Insider Journeys
korang mungkin minat…
Jom try makan burger ada skirt!
Tutorial buat dalgona mangga ni buat ramai gelak besar