Jarang kan kita dengar Bukit Larut menjadi destinasi pilihan pelancong?
Tapi sebenarnya Bukit Larut ni mempunyai keistimewaan tersendiri!
Dari segi sejarahnya, Bukit Larut adalah tempat peranginan tanah tinggi yang pertama dan tertua di Malaysia. Ia dibangunkan pada tahun 1870 dan diberi nama Maxwell Hill sempena nama pembantu residen British pertama di Perak, George Maxwell.
Pada awalnya, Maxwell Hill menjadi lokasi percutian golongan atasan British yang membina rumah percutian mereka di puncak bukit dan ada di antaranya masih kekal hingga hari ini.
Di sini juga pernah wujud ladang teh dan terdapat Tea Garden House di mana pengunjung bersantai menikmati teh.
Bukit Larut terletak 12km dari bandar Taiping. Korang boleh memandu terus ke kaki Bukit Larut dan tinggalkan kenderaan di ruang letak kereta yang disediakan.
Apa yang ada di Bukit Larut?
Ramai pelancong yang bercuti di Taiping memilih untuk mendaki Bukit Larut. Terdapat jalan tar hingga ke puncak. Beberapa pemandangan menarik dapat dilihat sepanjang perjalanan termasuk air terjun serta flora dan fauna.
Bagaimanapun, tidak banyak tempat menarik untuk dilawati di puncak Bukit Larut.
Apa yang ada antaranya ialah menara tinjau, taman bunga dan rumah-rumah kolonial yang pernah menjadi tempat penginapan pegawai British.
Kebanyakan tempat sudah terbiar dan tiada usaha untuk memulihara sejak beberapa tahun.
Namun masih ada chalet yang elok dan beroperasi sebagai tempat penginapan pelancong.
Tapi kalau korang mengharapkan Bukit Larut adalah destinasi percutian tanah tinggi seperti Cameron Highlands, korang akan kecewa. Tiada kedai bunga, ladang teh, kedai coklat, ladang strawberi dan sebagainya.
Namun jika persepsi adalah untuk melihat keunikan Bukit Larut dan apa yang ada di sini, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana keindahan semulajadi yang ada cukup memberi kepuasan kepada pengunjung.
Bagaimana untuk naik ke Bukit Larut?
Ada dua pilihan untuk naik ke atas kawasan Bukit Larut iaitu:
Menyewa kenderaan yang disediakan oleh pihak Bukit Larut. Jika anda ingin bermalam di atas, anda dinasihati untuk menempah awal perkhidmatan kenderaan Jeep, kerana sentiasa akan penuh pada musim cuti sekolah.
Dikenakan bayaran sebanyak RM10 untuk dewasa dan untuk kanak-kanak separuh dari harga dewasa. RM15 dikenakan untuk mengangkut semua barang dan beg anda. Perjalanan mengambil masa lebih-kurang 30 minit untuk sampai ke tempat penginapan.
Kalau korang jenis yang lasak, korang boleh mendaki untuk ke puncak Bukit Larut. Jarak perjalanan naik dan turun ialah kira-kira 20km dan ketinggiannya mencecah 1036m dari paras laut. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam, bergantung pada setiap individu. Laluan menggunakan jalan yang diturap sepenuhnya. Turut disediakan beberapa pondok di tepi jalan untuk anda berehat melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian.
Jeep ke puncak Bukit Larut beroperasi 4 trip setiap hari kecuali hari Jumaat 3 trip sahaja.
Penginapan di Bukit Larut
Banyak rumah rehat dan chalet yang terbiar dan semakin dipenuhi lalang dan tidak terurus. Hanya tinggal beberapa rumah dan chalet sahaja untuk disewa.
Chalet yang sering mendapat perhatian jika ke Bukit Larut ialah Cendana Hut.
Terdapat beberapa jenis bilik yang disediakan antaranya ialah standard room dan family room. Selain itu, Cendana Hut turut menyediakan cafe untuk pengunjung Bukit Larut.
Ramai pelancong yang berkunjung ke Bukit Larut mengatakan destinasi pelancongan ini semakin dibiarkan tanpa jagaan yang rapi.
Banyak tempat-tempat menarik yang terbiar tanpa pengawasan. Antaranya ialah tempat semaian bunga tulip, titi gantung dan menara serta rumah dan chalet yang terbiar kosong. Selain itu, tidak disediakan kemudahan pelancongan yang lengkap. Cuma hanya ada sebuah sahaja cafe yang dibuka sehingga jam 4.30 petang.
Kalau korang berminat untuk bermalam di sini, sila bawa bekalan makanan yang mencukupi dan juga peralatan untuk memasak.
Suhu adalah sekitar 10 darjah celsius (malam) hingga 25 darjah celsius (siang).
korang mungkin berminat baca:
Jom try makan burger ada skirt!
8 Tempat Makanan Terbaik Wajib Anda Serbu di Tangkak