Mungkin ramai yang pernah melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menuju Ipoh, namun pasti ramai juga yang tidak menyedari bahawa sebenarnya terdapat satu persinggahan menarik di tepi lebuhraya itu sebaik korang memasuki sempadan Perak yang dikelilingi jajaran bukit batu kapur.
Lokasi dimaksudkan adalah Taman Rekreasi Gunung Lang yang memiliki landskap berpaya antara terbaik di negara ini dengan keluasan sekitar 119.93 hektar.
Diapit dengan struktur batu kapur di kiri kanannya dan dilitupi rimbunan pokok menghijau, taman rekreasi ini begitu mendamaikan sekiranya korang mencari sebuah destinasi untuk merehatkan minda dan beriadah bersama ahli keluarga atau kawan-kawan.
Kalau korang datang dari Ipoh, jaraknya hanya sekitar 5 minit sahaja dan hanya perlu menyusuri Jalan Kuala Kangsar untuk tiba ke sini.
Tetapi jika korang dari Kuala Lumpur, perlu susur keluar Ipoh Utara dan dalam 1 kilometer sahaja korang akan temui papan tanda Taman Rekreasi Gunung Lang.
Setibanya di sini, mata pasti tertarik melihat keindahan air terjun buatan yang tertinggi di Malaysia!
Lepas dah bergambar, masuk sahaja di perkarangan taman ini, korang dah boleh lihat orang ramai begitu teruja memberi makan kepada ikan jenis keli Afrika, Ikan Koi, talapia dan lampam yang bersaiz besar.
Di taman itu juga, korang boleh melihat pelbagai tumbuhan eksotik yang menghiasi landskapnya seperti sepit udang dan pisang hutan iaitu spesies tumbuhan yang jarang ditemui.
Taman rekreasi berkenaan turut memiliki Zoo Mini yang memberi peluang pengunjung melihat haiwan seperti burung kasawari, rusa, kuda padi dan landak yang dijaga rapi di dalam kandang masing-masing.
Tapi kalau dah alang-alang sampai ke sana, rugi sekiranya korang tak merasai sendiri pengalaman menaiki bot keliling tasik buatan itu.
Tiket untuk menaiki bot ke tasik berkenaan yang jaraknya sekitar 300 meter dari jeti utama hanyalah semurah RM3 untuk dewasa, RM1.50 untuk kanak-kanak mahupun warga tua dan 50 sen sahaja untuk pelajar sekolah.
Bagi korang yang suka bergambar, lokasi ini juga mempunyai beberapa ‘sudut’ menarik dan pelbagai rumah tradisi untuk Instagram korang.
Taman rekreasi ini juga dilengkapi kemudahan surau, tandas awam, sewaan basikal dan parkir kereta percuma.
Ia dibuka seawal jam 8 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu serta cuti umum, sementara hari biasa ialah jam 8.30 pagi hingga 6 petang.
Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju