Pemilik kedai nasi kandar Pulau Pinang tertua di negara ini hari ini mendedahkan rahsia turun temurun yang digunakan sehingga membuatkan karinya terkenal di Pulau Pinang.
Rahsianya? Sudah tentu rempah yang dipakai.
Setiap hidangan di restoran Hameediyah diadun dengan cermat hasil pilihan rempah-rempah dari negara-negara seperti Turki, Pakistan, India dan Sepanyol.
Restoran yang berusia 114 tahun ini, tidak pernah menggunakan rempah yang dipasarkan secara komersial.
Sebaliknya, rempah-rempah kelas A ini ditumbuk atau digiling dalam kadar yang tepat bagi memastikan rasanya kekal sama.
Ahamad Seeni Pakir Abdul Sukkor, berkata, campuran rempah untuk rendang daging lembu, biryani, murtabak, kari ayam, ayam kapitan dan kari dhal tetap tidak berubah sejak 100 tahun lalu.
“Pelanggan kami sering memberitahu kami rasa tidak pernah berubah, sejak mereka masih kecil hingga mereka mempunyai anak.
“Setiap rempah dan garam yang digunakan diukur dengan betul bagi memastikan konsistensinya,” katanya kepada FMT.
Hameediyah hari ini mencipta rekodnya tersendiri dalam “Malaysia Book of Records” sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini.
Ahamad Seeni Pakir Abdul Sukkor adalah generasi ketujuh keluarganya yang mengendalikan Restoran Hameediyah di Campbell Street di George Town.
Pada permulaannya, mereka menjual makanan dari pintu ke pintu dan dari situlah maksud asal “kandar”. Apabila perniagaan mereka bertambah baik, mereka membeli sebuah kedai dan ia sudah beroperasi sejak tahun 1907.
Untuk pengetahuan nama Hameediyah adalah gabungan daripada nama nenek moyang India mereka.
Dan pada tahun 2014, restoran ini menjalani pengubahsuaian besar namun tetap mengekalkan asal usul rekaan abad ke-19, iaitu dengan mengekalkan warna kuning-hijau.
Malah mereka juga menambahkan sistem pengudaraan dengan pemasangan kipas dapur serta penghawa dingin bagi mengelakkan bau hasil masakan.
Artikel berkaitan
Biar Bonar Dungun Kini ‘Famous’ Dengan Mee Sup Melayu Champa?
5 Makanan Halal Wajib Cuba di Jeju