Bila tiba je musim durian, semua jadi tak senang duduk melilau cari raja buah ni. Maklumlah rakyat Malaysia memang suka buah durian tambah lagi kalau dapat yang manis, isi kuning dan ada rasa lemak. Perghh meleleh air liur.
Kalau dulu, kebanyakan orang suka beli dan makan di rumah tapi konsep itu sudah berubah apabila ada yang memilih untuk menikmati keenakan buah durian di dalam dusun.
Sambil makan sambil berehat hirup udara segar dan dapat lihat sendiri buah durian yang lebat dalam dusun. Sedar tak sedar sebakul durian dah makan.
Korang mesti nak tau port mana yang paling best untuk dapatkan durian dari baka kampung mahupun jenis hibrid berkualiti premium.
Dusun Durian D24 Azlan Gopeng, Perak
Perak merupakan negeri yang sentiasa disebut sebagai port durian terbaik. Memang ramai yang mencari durian di negeri Perak ni dan dikatakan durian dari Batu Kurau merupakan durian yang paling sedap walaupun durian kampung.
Tapi kalau korang rasa destinasi Batu Kurau agak jauh, korang boleh singgah di Dusun Durian D24 Azlan Gopeng. Dusun ni mengambil masa 30 minit je dari bandar Ipoh.
Dari jalan besar, korang dah boleh nampak dusun ni sebab ianya terletak di jalan besar. Dusun ni bukan saja menawarkan pengunjung membeli, malah menikmati bufet durian di situ.
Hakikatnya lebih lapan varieti ditawarkan iaitu D24, IOI, Musang King Raub, durian kampung, duri hitam dan banyak lagi. Ia dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam, sementara hari Jumaat dan hujung minggu dari 9 pagi hingga 6 petang.
Tetapi untuk hujung minggu disarankan tempahan awal. Kalau tak tengok kulit durian je la.
Teratak Chu Tiah Changlun, Kedah
Lain pula cerita di Teratak Chu Tiah Changlun ni. Selain dari korang bercuti ala desa sambil mandi di anak sungai, korang juga berpeluang mengutip sendiri buah durian yang dah luruh. Mesti korang tak pernah buat kan sebelum ni.
Lokasinya terletak kira-kira 8 kilometer dari pekan Changlun dan kalau korang memang nak stay dekat sana, mereka ada pakej penginapan dalam chalet berserta pakej makan.
Raub Durian Orchard, Raub, Pahang
Orang Raub mesti tau yang daerah ni merupakan tempat asal Musang King dan D24. Jadi tak hairanlah kedua-dua jenis ini paling banyak boleh didapati di Raub.
Jadi, sepanjang jalan dari bandar Raub hingga ke Bentong penuh dengan peniaga durian. Harga yang ditawarkan juga perpatutan. Namun buat yang mahu merasai pengalaman makan dalam dusun, rata-rata peminat buah itu menyarankan Raub Durian Orchard.
Antara jenis durian boleh dinikmati sepanjang berada di lokasi itu termasuk musang king, D24, D7, udang merah dan tekkah. Peminat bukan sahaja boleh menikmati hidangan berlatarkan pemandangan dusun malah ada chalet untuk menginap juga.
Sumber: Harian Metro