Mahatma Gandhi pernah berkata – “Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita sebaliknya meminjam daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya.”
Minat dan perasaan cintakan alam elok dipupuk dari kecil. Dengan matlamat menjaga kelestarian dan melahirkan generasi muda bertanggungjawab dan cintakan alam semulajadi, Sim Leisure Group Ltd, pemaju taman tema antarabangsa, memperkenalkan Program ESCAPE Greenie, satu inisiatif celik eko yang direka untuk kanak-kanak sekolah rendah Malaysia.
Inisiatif yang mula diperkenalkan di ESCAPE Penang pada 2019 ini telah berjaya menarik minat 25,000 pelajar sekolah rendah setiap tahun melalui aktiviti pendidikan langsung yang tertumpu kepada alam semula jadi, kelestarian dan perlindungan alam sekitar. Kini, SLG merancang untuk mengembangkan program itu, menjangkau lebih 150,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia, termasuk mereka daripada latar belakang yang kurang bernasib baik, dalam tempoh tiga tahun akan datang. Program ini akan difasilitasi dengan bekerjasama syarikat lain yang berdedikasi untuk pendidikan kelestarian.
Komponen utama Program Greenie ialah penubuhan Pusat Pendidikan khusus di taman ESCAPE, bermula dengan ESCAPE Penang. Pusat-pusat ini akan menawarkan pengalaman pembelajaran dalam dan luar bilik darjah.
Objektif Program ESCAPE Greenie termasuk memupuk keinginan dalam kalangan belia untuk menghargai alam sekitar, mendidik mereka tentang perlindungan alam sekitar, dan menggalakkan mereka membuat ikrar untuk memulihara sumber asli.
Untuk memastikan kebolehcapaian inisiatif ini, SLG akan mensubsidi program untuk kanak-kanak sekolah rendah yang layak dan mencari perkongsian dengan penaja korporat seperti A&W (Malaysia) Sdn Bhd, Etika Sdn Bhd, dan RHB Bank Berhad yang telah pun menjadi rakan kongsi korporat Program Greenie.
Secara keseluruhannya, Program ESCAPE Greenie mewakili usaha kolaboratif untuk memperkasakan belia Malaysia untuk menjadi penjaga alam sekitar dan memupuk budaya kelestarian untuk generasi akan datang.