Sekilas pandang mungkin ramai menyangka latar belakang pemandangan destinasi Budak Kaca Mata kali ini satu perkampungan nomad di luar negara.
Namun, khemah putih bercorak geometri sering dilihat dalam dokumentari National Geography ataupun Discovery Channel dan biasanya dikaitkan dengan kediaman masyarakat nomad di Mongolia atau pergunungan di Siberia ini sebenarnya di Gopeng, Perak.
Berada dalam dusun perkampungan Melayu, suasana disajikan sungguh mendamaikan apatah lagi kedudukannya tidak sampai 300 meter dari sungai selain dikelilingi pemandangan malar hijau di samping di depan you guys terbentang keindahan deretan gunung di Banjaran Titiwangsa. Setidak-tidaknya boleh menghilangkan sejenak kekusutan dek kesibukan kehidupan kota.
Tidak keterlaluan, buat anda yang menginginkan kelainan dalam jadual percutian wajarlah berkunjung sendiri ke Gopeng Glamping Park ini dan kalau korang nak tahu‘Glamping’ antara trend percutian pilihan dalam kalangan pencinta alam semula jadi dengan pengalaman menginap atau bermalam dalam khemah tanpa mengetepikan keselesaan.
Oleh itu, kombinasi idea percutian ‘glamour’ dan ‘camping’ menjadi jalan keluar buat warga kota yang ingin mencari ketenangan dalam hutan. Ia boleh dikatakan sebagai aktiviti percutian berkonsepkan ala perkhemahan.
Berbalik kepada pengalaman Budak Kaca Mata sendiri berkunjung ke lokasi penginapan ala perkhemahan selesa itu bersama jurugambar yang masing-masing terkesima dengan keunikannya. Nyata suasananya membangkitkan ketenangan!
Langkah kanan I dapat sebaik tiba kerana berpeluang menikmati minum petang dengan aneka juadah kuih-muih. Keesokan harinya pula, hidangan kampung seperti ikan keli masak cili padi, gulai lemak ayam antara yang dijamu kepada kami.
Kebetulan menginap ketika musim buah-buahan dan pokok durian dalam kawasan berkenaan pula sedang berbuah. Jadi kami turut disajikan dengan buah eksotik itu. Di situ, sesiapa juga mata you guys pasti tidak terlepas pandang khemah yang dipanggil yut, dilengkapi dengan kemudahan tilam, bantal selain kipas cukup selesa buat pengunjung.
Sambil menghirup udara segar, menikmati makanan di kafe atau mengayuh basikal secara santai mengelilingi kampung pastinya memahat memori paling indah untuk anda kenangan apatah lagi jika bercuti bersama keluarga.
Sudah tentu ibu bapa dan anak lebih teruja kerana dapat melupakan seketika kesibukan kota serta dunia gajet. Bagi I, tarikan sekitarnya lebih menggamit rasa dengan sungai yang airnya jernih, meneroka gua dan mendaki bukit di kawasan ini.
Buat pengetahuan you guys, konsep percutian sedemikian mula popular dan mendapat hati dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara namun, di Malaysia chalet dan inap desa lebih banyak dibuka berbanding ‘glamping’.
Buat you guys yang sukakan aktiviti lasak, ini antara pilihan lebih baik. Buat yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti luar tentunya berasa lebih santai dan selesa dengan konsep penginapan lengkap berserta sajian makan serta minum.
Konsep ‘glamping’ itu berupaya menzahirkan impian you guys khususnya buat pencinta alam semula jadi yang inginkan percutian selesa ala perkhemahan.