Tiga Filem Tamil Malaysia Mewarnai Netflix

0 Comments

Pengumuman buat semua penggemar cerita Tamil, ada tiga buah filem Tamil hasil keluaran Malaysia sedang ditayangkan di Netflix! Karya anak tempatan ini memang patut kita banggakan sebab bukan senang ye nak masuk Netflix ni. Antara filem-filem yang terlibat iaitu Vedigundu Pasangge (Rowdy Folks), Paramapatham (The Snake & Ladder Gameboard) dan Pulanaivu dimana filem-filem ini juga berjaya merangkul beberapa anugerah di acara penganugerahan filem di Malaysia dan di luar negara. 

  1. Filem Vedigundu Pasangge 

Bergenre aksi komedi romantik drama yang berkisarkan tentang seorang budak kampung bernama Theva. Dia terlibat dengan sebuah situasi yang kusut dan menyedari bahawa segala-galanya di sekelilingnya adalah misteri. Keadaan berubah menjadi keruh buat Theva angkara Boss yang penuh dengan muslihat dan tanpa Theva mengetahui warna sebenar perangai Boss. Boss menggunakan Theva sebagai umpan, yang menyebabkan masalah kepadanya. Theva belajar sesuatu tentang kehidupan – ‘once bitten, twice shy’.

  1. Filem Paramapatham

Filem ini juga mengandungi visual yang menarik perhatian seperti luncur ais, belon udara panas, koloni pemandangan bukit terbiar dan tempat-tempat tersembunyi lain di Malaysia. Ia berkisarkan ahli arkeologi bernama Aroon bersama tiga orang rakannya, (Jayakanth, Ganesh, dan Kumar) merancang untuk pengembaraan ke sebuah bukit yang belum diterokai. Semasa penerokaan, mereka secara tidak sengaja menjumpai permainan papan purba dengan perkataan “Parapatham” yang diukir pada papan kayu. Apabila hari semakin gelap, mereka meninggalkan permainan tanpa menyelesaikannya, Aroon membawa balik permainan itu ke rumahnya. Permainan tersebut mula mengawal kehidupan realiti mereka dan mereka mula menghadapi masalah akibat permainan tersebut. 

  1. Filem Pulanaivu 

Bukan hanya sekadar filem tetapi penuh dengan visual ‘roller coaster’ yang merangkumi emosi, keseronokan, ketegangan, rasa ingin tahu dan permainan minda. Filem Pulainavu berkisarkan Aishwarya yang muda dan cantik memulakan kehidupan di kolej dan bertemu dengan sekumpulan rakan-rakan baru. Salah seorang daripada mereka jatuh cinta kepada Aishwarya dan mendambakan cinta serta perhatiannya. Aishwarya pula cuba untuk memulakan hidup baru kesan  dari hubungan lampaunya. Sewaktu kisah cinta ini mula terjadi, sebuah pembunuhan mengejut telah berlaku.

Filem Vedigundu Pasangge telah ditayangkan mulai 16 September lalu manakala filem Pulanaivu dan Paramapatham ditayangkan bermula 14 Oktober 2022. Bersempena Hari Deepavali yang bakal tiba, inilah masa yang terbaik untuk korang tonton bersama-sama ahli keluarga nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.