Hati dah berbunga-bunga nak pergi holiday, tapi terpaksa pulak berdepan dengan perkara yang kurang enak semasa perjalanan atau lebih tepat lagi ketika dalam penerbangan. Sangat menjengkelkan! Silap hari bulan boleh spoil holiday mood tau.
Menurut Tinjauan Travel Bugbears 2023 oleh Agoda yang meliputi 10 negara merentas Asia, ini 5 perkara yang berlaku dalam penerbangan yang boleh bikin pelancong rasa kecewa sepanjang perjalanan mereka.
Pencerobohan ruang peribadi & Tingkah laku kurang sopan
Ini adalah kejengkelan yang paling utama dalam kalangan penumpang penerbangan. Warga Korea Selatan, Thailand dan Taiwan paling tersinggung dengan pencerobohan ruang peribadi, antaranya perebutan sandaran tangan, pengeluaran bunyi dari tubuh badan dan bau kaki yang kurang menyenangkan (ewwww).
Kelewatan penerbangan
Sudah semestinya! Bila mood dah set untuk bercuti, tiba-tiba dapat tahu penerbangan ditangguhkan sehingga beberapa jam. Tentu sahaja ia mengundang kejengkelan! Kesabaran para pengembara dari Filipina terutamanya mencapai titik kritikal apabila melibatkan kelewatan penerbangan kerana mereka menobatkannya sebagai kejengkelan utama mereka, sentimen yang turut dikongsi oleh para pelancong dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Penumpang bising
Di tangga ketiga dalam senarai kejengkelan dalam penerbangan di seluruh rantau ini ialah kehadiran penumpang yang berbuat bising. Ini termasuk penumpang sebelah yang terlalu banyak berbual, pasangan yang mendedahkan hal ehwal peribadi di tempat awam (PDA), atau kumpulan penumpang yang menyiarkan muzik atau permainan mereka dengan kuat sepanjang penerbangan. Warga Australia dan Malaysia paling kurang terkesan dengan bunyi bising manakala warga Taiwan dan Korea Selatan lebih mengutamakan pengalaman penerbangan yang menenangkan. Warga Jepun juga menghargai suasana tenang dan sunyi.
Perlakuan kasar dan tidak menghormati krew penerbangan
Warga Jepun menyenaraikan sifat tiada tolak ansur buat para penumpang yang bersikap biadab dengan kru kabin syarikat penerbangan sebagai kejengkelan utama mereka. Paham-paham!
Menyandarkan tempat duduk tanpa izin
Yang ni rasanya ramai yang dah terkena! Tegur salah, tak tegur pun salah. Mungkin pada yang berkaki panjang atau suka dengan ruang kaki yang luas boleh terbang dengan tiket kelas pertama selepas ni.
Kebiasaannya, keseronokan percutian bermula pada saat kita menaiki pesawat tapi tidak dapat dinafikan ada perkara-perkara yang boleh membuatkan pengalaman itu menjadi kurang menyenangkan. Harap-harap tinjauan santai yang dibuat Agoda ini dapat meningkatkah kesedaran, meningkatkan timbang rasa dan menjadikan pengalaman penerbangan lebih menyeronokkan.